BUAT DUIT PERCUMA DENGAN HANYA MEMBACA EMAIL

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Apa khabar anda pada hari ni? Harap anda sihat walafiat. Pada hari ni saya akan menceritakan tentang program tambah pertama saya yang saya pernah sertai iaitu MEMBACA EMAIL.

Ya! Inilah peluang pertama (tahun 2001) yang saya mula-mula JUMPA semasa mencari-cari apakah peluang pekerjaan yang boleh saya sertai di internet. Masa tu memang saya langsung takde pengalaman tentang program CARI DUIT guna internet ni..

Peluang ni memang sangat menarik kerana ada yang mendakwa memperolehi ribuan ringgit dengan hanya membaca email dan melihat iklan.

Apa yang begitu menarik tentang program seumpama ini ialah penyertaan adalah PERCUMA dan bukan itu sahaja, anda juga akan DIBAYAR sebaik sahaja mendaftar sebagai ahli! Jadi, siapa yang tak nak DUIT FREE kan? Program ini biasanya dikenali sebagai PAID EMAIL, PAID TO READ, AUTOSURF.

Saya terus mendaftar beberapa program seperti dan mula melihat ia sebagai yang sangat menarik. Setiap hari saya akan menerima email dari pihak syarikat (sekitar 1-5 email sehari) dan apa yang perlu saya lakukan ialah hanya buka email dan klik pada link yang disediakan untuk membolehkan anda menerima bayaran. Biasanya sekitar usd0.01-usd0.05 bagi setiap email (kalau tak silap saya).

Ada juga yang menawarkan lebih banyak bayaran jika anda sertai program yang diiklankan. Syarikat juga biasanya turut menyediakan program PAID TO SURF dimana anda hanya perlu login ke web mereka dan klik pada iklan yang dipaparkan untuk membolehkan anda mendapat lebih banyak bayaran.

Kebiasaanya pembayaran ganjaran akan dilakukan melalui Egold, Paypal, StormPay dan sebagainya. Hampir 2 bulan jugak saya sertai program ini dan menyertai sekitar 20 program tetapi hanya dapat mengumpul usd15 sahaja! Itupun hanya dalam system (masih belum dapat ditunaikan) dan akhirnya saya BERHENTI. Mengapa?

Ada banyak sebab saya berhenti kerana pada saya kerja ini memang tidak berbaloi dan hanya MEMBUANG MASA DAN TENAGA sahaja. Kenapa saya cakap macam tu? Ini antara sebab-sebabnya:

1) Kebanyakan program ini meletakkan HAD BAYARAN MINIMA untuk membolehkan saya membuat pemindahan wang ke akaun egold saya untuk saya tukarkan kepada WANG TUNAI. Dan pada saya untuk mencapai BAYARAN HAD MINIMA yang ditetapkan itu sangat susah. Sebagai contoh syarikat letakkan syarat usd15 untuk payout ke akaun egold.

Katakan bagi setiap email yang dibaca atau iklan yang di klik, anda akan dibayar usd0.01, ini bermakna untuk mendapatkan usd15, anda perlu membaca kira-kira 1500 email! Katakan setiap hari purata anda menerima 5 email dan dapat klik pada 5 iklan sahaja, sehari anda akan menerima usd0.1 dan untuk mencukupkan usd15, anda perlukan 150 hari (5 bulan ) untuk mendapatkan bayaran!

2) Anda juga akan diberikan komisen apabila ada ahli baru yang mendaftar dibawah anda, serta juga menerima bonus hingga level tertentu. Ini bermakna anda boleh mendapat lebih banyak WANG dengan menaja! Ini juga bermakna anda turut perlu mempromosikan perniagaan ini kerana lebih cepat dan lebih banyak wang yang boleh anda perolehi.

Tetapi saya berfikir balik, sudahlah saya perlu habiskan banyak masa untuk membaca email dan klik iklan, sekarang perlu mempromosikan pulak untuk dapat lebih banyak pendapatan. Adakah ia cara yang bijak? Kalau pakai streamyx atau internet di”pejabat” takpela kot, tapi kalau pakai dial-up atau pergi cybercafe pada saya memang tak berbaloi.

Katakan sejam sehari diluangkan untuk buat benda ni, di CC:
sejam=rm2,
1bulan=30hari=rm2×30=rm60,
5 bulan = rm60×5=rm300.
Dapat income=usd15×3.8=rm57.
Kerugian=rm57-rm300=rm243!

3) Anda juga mempunya RISIKO TINGGI untuk tidak dibayar! Ini kerana syarikat ini biasanya hanya dikendalikan oleh orang perseorangan yang boleh dipertikaikan kredibiliti mereka. Dan kebiasaannya anda akan menyertai program berdasarkan penilaian yang mana akan memberikan bayaran yang paling tinggi dan had payout yang paling minima tanpa memikirkan track rekod website itu.

4) Keahlian anda BOLEH DITAMATKAN jika tidak aktif untuk tempoh tertentu. Seperti jika anda tak login selama 1 bulan, keahlian anda boleh ditamatkan pendapatan yang anda perolehi akan hilang begitu saha. Jadi, pastikan anda betul2 memahami Terms & Condition yang ditetapkan.

Rasanya 4 sebab yang saya sebutkan ini boleh membantu anda membuat penilaian jika anda berminat untuk menyertai program seumpama ini. Tidak saya nafikan ada yang berjaya tetapi ramai yang juga yang tidak. Apa yang penting pada saya ialah tidak salah mencuba kerana selepas itu anda akan tahu samaada ia sesuai atau tidak dengan anda.

Saya pernah terbaca sebuah ebook yang ditulis oleh Gary Shawkeys yang bertajuk “Gary Shawkeys Secret: Become An Expert Affiliate Overnight” dimana beliau telah menemuramah seorang Pakar Pemasaran Internet bernama Brian Garvin.

Brian merupakan salah seorang pakar pemasaran internet didalam bidang Affiliat dan MLM. Dimana beliau menasihatkan jika anda benar-benar inginkan pendapatan lumayan melalui program affiliat, jangan sertai program seperti ini. Disini saya sertakan QA tentangnya dibawah tajuk “Questions From Affiliate Newbies Answered”
————————————————————-
Q: What type of affiliate programs should you avoid?A: If you want to make it big in the affiliate marketing industry you need to think big up front. Never promote get paid to surf programs, get $5.00 for signing up programs, programs that offer guaranteed traffic, downline clubs, gifting programs, send cash in the mail programs, undoable matrix programs, chain letters, etc.. I call these programs “cheesy” programs. I’ve made a couple of mistakes promoting these programs as a newbie myself, so I speak from experience, although I won’t associate myself with them anymore. They will just give you cheesy reputation if you keep promoting them. The mode money you make and the more you brand your name, the worse it can hurt you if you promote these.
————————————————————-
Rasanya agak banyak yang saya tuliskan hari ni. Diharap anda mendapat sedikit manfaat darinya. Saya juga meminta maaf jika ada yang tidak puas hati dengan pendapat saya.

————————————————————-Rasanya agak banyak yang saya tuliskan hari ni. Diharap anda mendapat sedikit manfaat darinya. Saya juga meminta maaf jika ada yang tidak puas hati dengan pendapat saya.Jika anda masih minat untuk mencuba, Nasihat saya ialah BUAT PENYELIDIKAN dengan melayari dan memahami keseluruhan website yang ingin anda sertai terutamanya ruangan FAQ yang disediakan.

Pastikan juga kaedah pembayaran sesuai untuk Rakyat Malaysia seperti egold kerana ada beberapa kaedah seperti Paypal dan ClickBank tidak mengiktiraf Malaysia .Ingat bahawa dalam apa jua yang kita lakukan “Knowledge is Power!”. Dan selain itu kita juga akan sentiasa belajar dari kesilapan.

Jika PAKAR seperti Brian Garvin juga pernah sertai program seperti ini dan menasihatkan agar anda menjauhkan diri, mengapa perlu MENGHABISKAN MASA DAN WANG RINGGIT. Salah satu rahsia kejayaan jutawan internet ialah MEMPRAKTIKKAN APA YANG DIAJAR OLEH MEREKA YANG TELAH BERJAYA. Jadi, Fikir-fikirkanlah.

Salam sukses!

Asmawati Abd. Manap

Mengapa Internet Menjadi Medium Pilihan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini saya ingin menceritakan bagaimana saya mula berjinak-jinak dengan internet yang sekarang mula menjadi sumber pendapatan saya. Teknologi internet adalah sangat luas dan telah memberikan kesan yang cukup hebat kepada individu, keluarga, masayarakat, negara dan dunia. Saya mula menggunakan komputer sejak tahun 1991 dan mula mengenali internet pada 1997 (semasa menuntut di universiti). Namun dimasa itu tidak banyak laman web yang ada dan email masih tidak digunakan secara menyeluruh.

Apabila saya menjejaki alam pekerjaan sekitar tahun 2001, saya menggunakan sepenuhnya kemudahan internet terutamanya didalam menjalankan pelbagai penyelidikan dalam usaha menyiapkan pelbagai tugasan yang diberikan. Dalam jangkamasa yang sama, saya menyedari potensi yang sangat besar didalam mengeksploitasi keupayaannya yang akan memberikan saya lebih kebebasan disegi kewangan dan masa!

Penggunaan internet di Malaysia telah bertambah berlipat kali ganda, dan dengan pengumumam Perdana Menteri pada Budget 2004 yang mencadangkan penurunan kadar akses internet dijangka akan meningkatkan lagi penggunaannya diseluruh negara. Statistik menunjukaan bahawa pengguna internet di Malaysia akan meningkat daripada 3 juta (2003) kepada 6 juta orang orang menjelang 2005!

Cuba anda fikirkan, dengan peningkatan bilangan pengguna internet ini setiap tahun.. apakah sebenarnya yang mereka lakukan? Anda sebagai pengguna internet, apakah peluang yang anda nampak? Adakah anda melayari internet untuk mendapatkan maklumat samaada berunsur ilmiah (berkaitan kewangan, rumahtangga, kerjaya, pendidikan, kesihatan, kecantikan, sains& teknologi, berita, sukan, dll) atau hiburan (seperti musik, fesyen, kosmetik, percutian, MP3, games, chatting, dll) atau sebagai sumber pendapatan? (dengan merebut peluang yang sedia ada atau mengenalpasti peluang yang sesuai untuk anda mulakan perniagaan anda)

Telah ramai yang berjaya mendapatkan pendapatan yang lumayan melalui internet. Tidak kira dengan menjalankan perniagaan atau menyertai pelbagai program yang mampu memberikan pendapatan sampingan. JIka anda memilih untuk menjalankan perniagaan, gabungan online dan offline pasti memberikan hasil yang lebih memberangsangkan. Namun bukan sedikit yang kecundang kerana internet merupakan superhighway bagi pelbagai maklumat dan terkadang kita menjadi alpa dan tidak fokus.

Jika anda sanggup melakukan dua perkara iaitu Learn & Apply, anda pasti akan berjaya didalam apa jua perniagaan yang anda ceburi. Adalah sangat penting untuk anda bersedia untuk mempelajari apa jua kaedah, teknik dan teknologi yang dapat membantu menjayakan perniagaan anda dan mengaplikasikannya didalam perniagaan anda. “Tidak berguna ilmu yang ada tanpa amalan”.

Salam sukses!

Punca Kegagalan Pekerjaan atau Perniagaan Dari Rumah

Assalamualaikum dan salams sejahtera,

Hari ini saya akan tuliskan serba sedikit apakah yang menyebabkan kita mengalami kegagalan.
Sebenarnya apa jua pekerjaan/perniagaan yang kita jalankan tidak akan gagal asalkan kita mengamalkan etika kerja yang baik, disiplin diri serta pertimbangan yang waras dalam apa jua tindakan yang dilakukan. Namun , sebagai manusia, kita tidak akan dapat lari dari melakukan kesilapan dan ia akan menjejaskan segala perancangan kita sebelum ini.

Dibawah ada disenarai beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh mereka yang menceburi bidang perniagaan. Kalaupun anda sekadar menjadi pekerja sambilan (i.e tidak berniaga), pastinya ia tetap sesuai diaplikasikan. Diharap anda akan dapat mengelakkannya untuk memastikan anda mencapai kejayaan seperti yang diimpikan.

Kekurangan modal:
Kekurangan wang tunai adalah merupakan faktor utama yang menyebabkan kegagalan sesuatu perniagaan. Ini bermakna, anda tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk dilaburkan dalam perniagaan anda atau mengagihkannya untuk keperluan lain dalam kehidupan. Oleh itu, anda perlu membuat perancangan kewangan yang teliti sebelum memulakan perniagaan.

Kekurangan latihan/kemahiran/pengalaman:
Ini juga merupakan mengapa kebanyakan perniagaan gulung tikar. Jika didalam syarikat yang besar terdapat ramai orang yang akan mengendalikan pelbagai fungsi yang berbeza seperti penyelidikan, kewangan, penghantaran, pengiklanan, pengkeranian, komunikasi bersama pelanggan, dll.

Namun, dalam bidang ini, anda bekerja sendirian dan anda perlu menguasai semua aspek kemahiran yang diperlukan untuk perniagan anda. Jadi, jangan anda kedekut masa dan wang ringgit untuk dilaburkan dalam usaha mempelajari kesemua kemahiran. Ingat “ Knowldege is power”.

Perancangan yang kurang rapi:
Ramai yang terjun ke bidang perniagaan dari rumah tanpa perancangan yang mencukupi dan kebanyakannya membawa kegagalan. Perkara utama yang perlu dilakukan ia bertindakbalas kepada situasi yang ada, bukannya membuat keputusan secara mendadak. Maksudnya, siapkan diri anda disegi mental, kewangan, kemahiran serta fizikal sebelum memulakan perniagaan.

Kesilapan dalam Perancangan kewangan:
Kebanyakan mereka yang menyertai perniagaan ini tidak sedar tentang berapa banyakkah kos yang diperlukan untuk menjalankannya. Atasi perkara ini dengan menyimpan rekod perbelanjaan terpeinci semua transaksi yang dilakukan. Bentuk disiplin diri dalam berbelanja walaupun anda bekerja secara bebas.

Situasi diluar jangkaan:
Kadang-kadang perniagaan juga terpaksa menghadapi situasi yang diluar kawalan. Bayangkan banjir kilat boleh merosakkan komputer anda atau lain-lain peralatan yang penting dalam perniagaan anda. Pastikan anda mempunyai insurans bagi semua ini. Sebagai usahawan, anda perlu mendapatkan sendiri nasihat daripada agen insuran mengenainya.

Kehilangan minat:
Terdapat juga mereka yang akan hilang minat terhadap perniagaan yang dijalankan. Ia adalah benar sekiranya anda menjalankan perniagaan yang tidak anda minati. Ataupun ia mungkin berpunca daripada perniagaan yang tidak berjalan seperti yang dirancang dan ia meruntuhkan semangat anda. Oleh itu, pastikan anda memilih perniagaan yang anda minati dan sentiasa membina motivasi diri untuk menjalankannya.

Unsur penipuan/pemalsuan:
Melakukan perkara yang menyalahi undang-undang pastinya akan mengundang padah. Kadang-kadang aktiviti yang dilakukan oleh rakan kongsi. Pekerja anda juga boleh memusnahkan perniagaan anda. Sila semak dengan teliti segala sistem, peralatan, bahan dan apa jua perkara yang berkaitan dengan perniagaan anda untuk mengelakkan situasi ini menimpa anda.

Kesilapan memilih rakan kongsi/pekerja:
Jika anda memberikan sebarang tanggungjawab kepada orang yang salah, anda pastinya akan menghadapi masalah dimasa akan datang. Memang tidak dinafikan perlunya rakan kongsi/pekerja samada untuk mengumpul modal atau mendapatkan kepakaran. Namun sila pastikan anda membuat penelitian terpeinci untuk mengelak kesulitan dimasa akan datang.

Selain itu, ada juga perkara yang dilakukan oleh peniaga itu sendiri yang melibatkan keperibadiannya sendiri tanpa melibatkan orang lain. Perkara-perkara berikut masih boleh dielakkan dengan berubah kepada sikap yang lebih positif;

Salahguna komputer & internet:
Semasa saya mula mengenali komputer, saya menjadi ketagihan didalam bermain pelbagai games yang terdapat didalamnya. Kadang-kadang saya akan menetapkan waktu rehat untuk 5 minit tetapi apa yang terjadi ialah saya telah menghabiskan masa hampir 3 jam hanya dengan bermain Solitaire!

Begitu juga dengan internet, sebagaimana yang kita semua tahu, macam-macam yang boleh diperlolehi dari internet. Semasa membuat penyelidikan bagi perniagaan saya, kadang-kadang saya akan melawat laman web yang menawarkan “peluang menjana pendapatan” tanpa sebarang tujuan khusus dan akhirnya mendaftar/melanggan untuk pelbagai tawaran percuma yang ada… ia pastinya sangat merugikan masa, wang dan tenaga!

Penggunaan telefon secara tidak profesional:
Apakah pandangan bakal pelanggan anda apabila telefon anda dijawab oleh anak-anak anda? Mungkin ia nampak “comel” namun ia memang tidak profesional. Kerana pada mereka ia merupakan panggilan untuk urusan perniagaan, dan anda mungkin tidak menyedarinya. Pastikan anda menyediakan talian khas untuk perniagaan anda dan pastikan ia tidak digunakan tanpa kebenaran anda.

Keluarga dan rakan-rakan:
Ini merupakan sesuatu yang begitu sukar untuk ditangani. Keluarga dan rakan-rakan mungkin akan menganggap anda mempunyai begitu banyak masa terluang kerana bekerja dari rumah. Ada yang akan singgah atau menelefon dan menyatakan bahawa mereka merasa bosan dan ingin berbual dengan anda!

Adalah sukar untuk menyatakan kepada mereka bahawa anda perlu bekerja dua kali ganda untuk berjaya. Dan kaedah yang paling mudah ialah mengatakan TIDAK walaupun sukar. Ingat etika kerja dan perancangan masa adalah penting!

Naik turun dalam perniagaan:
Mungkin keluarga dan rakan-rakan anda akan merasakan bahawa adalah tidak munasabah untuk anda berhenti dari sati pekerjaan yang menjamin masa depan anda semata-mata kerana ingin menjalankan perniagaan sendiri. Dan ia adalah benar, kerana anda tidak akan membuat keuntungan dalam jangkamasa yang singkat.

Namun, ia pasti akan berhasil dari masa ke semasa. Anda tidak perlu berputus asa jika tidak memperolehi pendapatan yang lumayan setiap bulan, ini kerana setiap perniagaan ada pasang surutnya tetapi ia masih memberi keuntungan.

Menceburi terlalu banyak perniagaan:
Jangan terkejut jika ada usahawan yang menyertai lebih daripada 300 program menjana pendapatan melalui internet, membuat pelbagai usaha promosi namun masih tidak berjaya! Sebenarnya anda perlu bijak memilih apakah program yang sesuai dan menghadkan kepada maksima 20 program sahaja. Buat penyelidikan terperinci dan tumpukan perhatian sepenuhnya. Jangan jadi seperti pepatah Inggeris “he chatches two rabbits catches neither”.

Keinginan melakukan segala tugas sendirian:
Anda adalah majikan dan pekerja kepada perniagaan anda. Anda perlu menjawab telefon, menghantar pesanan, membuat jualan, dll. Lambat laun anda akan merasa letih melakukan kesemuanya sendirian.

Bila tiba saat itu, jangan ragu-ragu untuk mendapatkan seseorang untuk membantu anda secara sambilan yang dibayar berdasarkan kerja yang mereka lakukan. Jadi, anda akan mempunyai lebih banyak masa untuk menjayakan perniagaan anda. Anda juga boleh menggunakan pelbagai teknologi automasi yang boleh memudahkan banyak kerja.

Rasanya dah banyak yang saya dapat kongsikan. Post ini adalah olahan dari pelbagai sumber yang saya tidak dapat tuliskan. Sekali lagi, saya mohon maaf. Apapun, saya harap ia dapat memberikan manfaat.

Salam sukses!

Realiti Hidup Apabila Bekerja dari Rumah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni saya akan kongsikan tentang REALITI SEBENAR apabila kita memilih untuk bekerja dari rumah. Post ini sebenarnya penulisan semula dan terjemahan dari pelbagai sumber yang saya sendiri tak berapa ingat.Maaf.

Pemikiran rakyat Malaysia sekarang telah mula berubah dari kerja makan gaji ke arah bekerja sendiri terutamanya dalam memulakan sebuah perniagaan. Mereka yang sedang makan gaji telah mula berjinak-jinak dengan perniagaan bermula secara sambilan kecil-kecilan seperti menjual kain baju, kerepek, kuih muih atau bagi yang tiada kemahiran pula memilih untuk menyertai jualan langsung (MLM).

Sesungguhnya impian agar dapat bekerja dari rumah sendiri kedengarannya begitu menyeronokkan setiap orang. Anda mempunyai kebebasan disegi masa dan tenaga disamping tidak perlu mendengar sebarang arahan/ komen daripada bos anda, selain keistimewaan untuk bercuti bila-bila masa anda inginkan dan sentiasa bersama keluarga.

Jika itu yang sedang anda fikirkan jika anda memilih untuk bekerja dari rumah? Anda perlu mengkaji dengan lebih terpeinci sebelum membuat sebarang keputusan untuk bekerja sendiri.

Walaupun terdapat banyak kelebihannya menjalankan perniagaan sendiri, anda perlu mempertimbangkannya dengan sedalam-dalamnya realiti sebenar dan pasti bahawa ia benar-benar sesuai untuk anda. Terdapat pelbagai realtiti sebenar yang perlu anda pertimbangkan samaada disegi kehidupan peribadi, kewangan dan persekitaran.

Realiti utama yang amat penting untuk anda sedari ialah disegi peribadi dimana ia akan perubahan didalam kehidupan seharian anda. Antara aspek yang perlu difahami ialah;

Komitmen:
Anda seharusnya komited dalam usaha memastikan perniagaan yang anda jalankan mencapai kejayaan seperti yang diimpikan. Dan adalah sangat perlu untuk anda membezakan antara komited dan minat yang mendalam dalam kerana jika anda menjalankan perniagaan semata-mata kerana minat, semangat dan motivasi diri anda akan pudar mengikut pengedaran masa.

Kesediaan Menerima Risiko:
Salah satu kelebihan memiliki perniagaan sendiri ialah anda tidak perlu menjawab sebarang soalan yang diajukan oleh bos anda. Apa yang terjadi ialah anda tidak mempunyai sebarang sokongan atau tempat mengadu jika timbul sebarang masalah. Jika anda melakukan satu kesilapan yang mengakibatkan kerugian, anda sendiri yang akan menanggungnya.

Atas sebab ini, anda perlu sentiasa bersedia untuk mengambil risiko. Jika anda memiliki kehidupan yang lebih selamat dan stabil, bekerja makan gaji mungkin merupakan pilihan yang lebih baik buat anda.

Motivasi Diri:
Perlu anda ingat bahawa anda anda tidak mempunyai bos yang akan memberi arahan bekerja kepada anda. Anda perlu berupaya untuk memotivasikan diri anda sendiri untuk melakukan apa yang perlu termasuk apa jua perkara yang anda tidak begitu gembira melakukannya.

Disiplin Diri:
Menjadi bos kepada diri sendiri bermakna anda perlu menerapkan disiplin yang kuat dalam diri untuk memastikan segala tugas dapat diselesaikan seperti yang sepatutnya. Tanpan sikap ini, adalah sukar untuk menjalankan perniagaan dari rumah dengan jayanya.

Kesabaran:
Memulakan perniagaan dari rumah adalah satu perkara yang penting namun menjadikan perniagaan tersebut menjana keuntungan(seperti yang diharapkan) adalah begitu penting untuk difikirkan. Anda perlu sedar bahawa anda tidak akan memperolehi keuntungan dalam masa yang singkat. Anda perlu bersedia untuk bersabar dan berjimat cermat semasa beberapa bulan pertama perniagaan anda.

Penyebab:
Sebab mengapa anda memilih untuk memulakan perniagaan ini berkait rapat dalam memastikan anda sentiasa mempunyai motivasi diri yang tinggi dan menguatkan semangat anda untuk menjalankannya. Jika alasan anda ialah untuk menjadi kaya dalam jangkamasa yang singkat atau peluang untuk bekerja dalam masa yang sedikit, anda perlu fikirkan semula kerana ia mungkin tidak akan berjaya.

Fleksibiliti dan kebolehan menyesuaikan diri:
Anda mungkin datang dari bidang korporat dan memiliki status tertentu. Anda juga mungkin mempunyai setiausaha atau pembantui yang akan menyelesaikan pelbagai perkara yang melibatkan bidang tugas anda. Namun, dalam perniagaan anda, anda perlu bersedia untuk menjalankan pelbagai tugas yang dahulu dijalankan oleh orang lain.

Ini bermakna, adalah sangat penting untuk anda sentiasa berusaha menyesuaikan diri dan bersedia mempelajari kemahiran baru dan tugas-tugas yang sebelum ini dilakukan oleh orang lain.

Kesediaan untuk berkorban:
Terutamanya di peringkat awal perniagan anda dimulakan. Bersedialah untuk berkorban disegi masa dan wang ringgit untuk memastikan ia berjalan lancar. Anda perlu bersedia untuk bekerja dalam masa yang agak lama dan memperolehi pendapatan jauh lebih rendah berbanding gaji anda semasa bekerja.

Etika Kerja:
Ia merupakan tulang belakang dalam aspek disiplin yang perlu anda praktikkan dalam perniagaan anda. Jika anda mempunyai etika kerja yang bagus, keperluan untuk meningkatkan disiplin diri dan kesediaan untuk berkorban akan datang dengan sendirinya.

Pengurusan tekanan:
Anda akan menanggung sendiri segala beban samada kejayaan atau kegagalan dalam perniagaan ini dan ia memerlukan tanggungjawab yang banyak. Ambilkira kebolehan anda menangani tekanna dan sentiasa mencari jalan untuk mengendalikan tekanan dengan baik.

Anda juga perlu menimbangkan pelbagai aspek kewangan yang akan menentukan bahawa adakah anda benar-benar bersedia untuk menjalankan perniagaan ini.

Wang Simpanan:
Jika perniagaan anda berjalan agak perlahan, adakah anda mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk meneruskannya? Jika tidak, anda perlu memulakan perniagaan anda secara separuh masa terlebih dahulu sehingga ia benar-benar pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos kehidupan anda.

Perancangan Persaraan:
Kini anda tidak akan menikmati pencen yang akan ditanggung oleh majikan anda (jika anda berhenti sebelum cukup tempoh kelayakan). Anda perlu memikirkan tentang Akaun Persaraan anda dan dapatkan nasihat daripada perancang kewangan yang berdaftar semaasa memulakan perniagaan anda.

Insurans Kesihatan:
Anda juga tidak lagi menikamti pelbagai faedah kesihatan seperti kos perubatan, pergigian, insurans nyawa dan hilang upaya yang anda terima semasa bekerja makan gaji. Anda perlu mendapatkan perlindungan ini dengan inisiatif untuk mengelakkan risiko-risiko ini.

Percutian:
Anda perlu sedar bahawa tiada gaji yang akan anda terima jika anda ingin bercuti, lagipun siapa yang akan mengambil alih urusan perniagaan anda sepanjang tempoh percutian tersebut? Perancangan yang teliti sebelum bercuti adalah sangat penting.

Anda juga akan menghadapi pelbagai situasi sebenar dalam kehidupan anda yang jauh dari jangkaan anda selama ini seperti;

Kerja keras, jangkamasa yang panjang:
Jika anda berfikir bahawa dengan bekerja sendiri anda tidak perlu bekerja keras atau dalam masa yang panjang, mungkin anda perlu memikirkannya sekali lagi. Sebenarnya perniagaan ini bermakna anda perlu melakukan kedua-duanya untuk berjaya.

Gangguan:
Jika anda mempunyai anak-anak dirumah, anda perlu bersedia untuk menghadapi gangguan daripada mereka. Pastinya kelebihan berniaga dari rumah ialah anda dapat menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga tapi anda perlu meletakkan had tertentu jika anda mahu memberikan tumpuan yang sewajarnya kepada perniagaan anda. Perkara yang sama juga perlu anda lakukan kepada pasangan anda.

Kehilangan Tumpuan:
Anda juga perlu berhati-hati apabila anda perlu melakukan pelbagai kerja rumah dalam tempoh masa yang telah anda tetapkan untuk menjalankan perniagaan. Mungkin dalam masa yang telah anda tetapkan untuk menjalankan perniagaan anda perlu membasuh kain atau membersihkan permaidani. Disiplin diri dan perancangan masa adalah sangat mustahak untuk mengelakkan produktiviti anda terjejas.

Perasaan Terasing dan Kesunyian:
Jika anda pernah bertugas di dunia korporat, selepas beberapa ketika bekerja dari rumah, anda akan mula merasa terasing dan kesunyian kerana pergaulan anda terbatas.Anda boleh mengatasinya dengan sentiasa membuat perancangan apakah yang akan anda lakukan sepanjang hari supaya anda boleh mengelakkan masa yang terluang tanpa membuat apa-apa.

Kesimpulannya, anda perlu sedar bahawa walaupun banyak kelebihan apabila bekerja dari rumah, namun masih ada banyak sebab perniagaan ini tidak sesuai untuk anda. Anda perlu membuat penilaian dengan serius berkaitan realiti sebenar kehidupan yang akan anda lalui disamping apakah kualiti yang ada didalam diri anda yang akan menjadikan perniagaan anda mencapai kejayaan.?

Adakah anda bersedia dan berupaya untuk menjalankan apa jua tugasan yang diperlukan? Jika anda dapat menjawab kesemuanya secara positif, ia mungkin sesuai untuk anda. Jika anda masih ragu-ragu, fikirlah dengan mendalam sebelum anda berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sendiri, atau anda mungkin akan menyesal dikemudian hari.

P.S: Saya sendiri telah mula merasai realiti ini dan kebanyakannya adalah benar. Jadi, fikir-fikirkanlah dahulu sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja.

Salam sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com/
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com/
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm
Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

Tips Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan (Part 2)

…sambungan dari part 1.

#6 – Adakah Wang Anda Akan Dikembalikan?

Sesetengah peluang perniagaan mungkin melibatkan pembelian peralatan, bahan-bahan dan sebagainya. Satu perkara yang anda mesti tahu ialah samada syarikat tersebut mempunyai polisi pemulangan kembali wang. Jika ya, anda perlu tahu syarat-syaratnya sebelum anda membuat komitmen.

Ada dua aspek mengenai perkara ini: Pertama, anda tidak mahu terlibat di dalam skim di mana syarikat tersebut menjalankan perniagaan dengan memperolehi keuntungan daripada penjualan peralatan dan barang-barang ini. Kedua, jika perniagaan ini sahih dan anda dapati selepas anda menceburinya, ianya tidak sesuai dengan anda, anda harus tahu bagaimana hendak mengurangkan kerugian.

#7 – Adakah Ia Menguntungkan Walaupun Dengan Kerja Keras?

Ada beberapa jenis penipuan yang berselindung di sebalik nama premis pekerjaan di mana anda perlu membeli “perniagaan” itu dalam jumlah yang ditetapkan dan selepas itu anda akan diberi “Pakej Permulaan” dan anda dikehendaki menyiapkan kerja tersebut. Ia adalah satu penipuan kerana kerjanya adalah sukar dan tidak memberangsangkan, tambahan pula produk itu sendiri tidak dapat dipasarkan dengan jayanya.

Tujuan sebenarnya ialah supaya anda akan putus asa, dan apabila anda berhenti, pelaburan awal anda akan hangus. Tiada pulangan wang bagi anda tetapi sebaliknya keuntungan kepada syarikat. Jenis penipuan seperti ini seringkali menyiarkan iklan mereka dengan mengatakan tiada polisi pemulangan wang dalam cetakan kecil.

#8 – Pengetahuan Mengenai Pasaran

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak permintaan dan iklan bagi pekerja dari rumah bagi beberapa “perkhidmatan khusus” seperti perkhidmatan pengebilan terutamanya dalam industri perubatan dan utiliti, dan kerja-kerja seni dan kraftangan. Buatlah kajian pasaran sebelum anda mendaftar. Adakah berbaloi tugas ini dengan tenaga yang anda keluarkan.

Contohnya benarkah wujud pasaran di tempat anda bagi perkhidmatan seperti ini? Jika anda diambil bekerja dengan janji bahawa ada pelanggan sedia ada yang telahpun menggunakan perkhidmatan tersebut, hubungi mereka untuk mendapatkan kepastian, dan dapatkan gambaran sebenar tentang perkhidmatan yang diperlukan.

#9- Tuntutan Perundangan
Panduan ini sebenarnya berkait rapat dengan perkara di atas. Sebelum anda mula menerima apa saja jenis kerja khusus, periksa dahulu jika ada keperluan perundangan tertentu. Ini mungkin termasuk tuntutan perlesenan, pendaftaran dan pengezonan bagi beberapa jenis aktiviti perniagaan tertentu. Periksa dengan pihak berkuasa tempatan contohnya majlis perbandaran ataupun Pendaftar Syarikat bagi tuntutan-tuntutan ini.

#10 – Periksa Sumber Maklumat

Sebelum anda melibatkan diri dengan apa sahaja jenis perniagaan tertentu, periksa sumber-sumber maklumat seperti jurnal perdagangan dan laman web berkaitan. Sumber-sumber ini dapat memberikan maklumat yang berguna dan boleh dipercayai mengenai berita, latihan, dan acara-acara tertentu.

Anda juga mungkin dapat memperolehi maklumat terperinci mengenai perkara-perkara berkaitan seperti agensi kerajaan yang terlibat dan maklumat mengenai pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam industri tersebut. Anda juga boleh menyertai forum untuk bertanya soalan, mengemukakan isu-isu berkaitan dan sebagainya.

#11 – Tawaran Istimewa

Sebahagian daripada cara “menghidu” penipuan ialah dengan melihat jika terdapat apa yang dipanggil wang pendahuluan terhadap gaji anda selepas anda mendaftar dengan sesebuah syarikat. Ini adalah cara biasa yang digunakan untuk menarik kepercayaan anda, serta untuk menipu wang anda.

Pertama, anda akan menerima sekeping cek – kononnya adalah wang pendahuluan bagi gaji bulan pertama anda. Ini memberikan anda keyakinan bahawa perniagaan itu benar-benar sah. Setelah mendapat bayaran itu, anda tentu akan pergi mendepositkan cek tersebut.

Sebelum sempat cek itu diluluskan oleh bank, anda akan dihubungi oleh pihak syarikat yang meminta supaya anda memulangkan sebahagian daripada wang tersebut, atau untuk memulangkan cek tersebut kerana berlaku sedikit kesilapan.

Mereka juga berjanji yang anda akan menerima bayaran yang sebenar tidak lama lagi. Selepas anda memulangkan wang itu (menggunakan cek anda), anda akan diberitahu oleh pihak bank bahawa cek yang diberikan oleh syarikat adalah cek tendang. Dengan ini, mereka telah berjaya menipu wang anda. Apa yang anda dapat adalah cek tendang dan tiada harapan untuk anda mendapat wang anda kembali daripada syarikat.

#12 – Piramid – Bentuk Yang Harus Dicurigai

Skim Piramid adalah berita buruk, tidak kira dari sudut mana anda melihatnya. Secara amnya, ia adalah perniagaan yang melibatkan “perluasan perniagaan” yang dijalankan bukan dengan penjualan barang atau bayaran bagi perkhidmatan, tetapi melalui sistem pengambilan ahli baru yang akan meneruskan perluasan perniagaan itu dengan mengambil lebih ramai lagi ahli baru.

Kadang kala, syarikat yang menjalankan skim piramid ini akan berpura-pura bahawa sebenarnya ada jual beli berlaku atas barang-barang tertentu, contohnya lukisan atau makanan kesihatan. Tetapi apabila anda meneliti dengan lebih mendalam, anda akan lihat bahawa aktiviti utamanya ialah memperluaskan dasar piramid itu dengan mendapatkan lebih ramai orang bawahan atau “downliners”.

Seringkali juga, ahli-ahli baru terpaksa membayar wang yang banyak untuk memasuki skim ini. Di negara kita, perkara ini telah banyak kali berlaku, dan ramai orang yang tidak bersalah telah tertipu. Mereka telah membayar sejumlah wang yang banyak selepas menerima pulangan awal, tetapi kemudiannya hilang kesemua wang mereka apabila piramid itu runtuh.

Jadi, pastikan ia merupakan peluang yang benar-benar sah dan berhati-hatilah apabila ditawarkan dengan “wang mudah”. Satu peringatan dari Beverly Williams, Presiden dan Pengasas American Association of Home-Based Business ialah “Terdapat SANGAT SEDIKIT peluang (bekerja dari rumah) yang sah terdapat di pasaran”.

Jangan menjadi mangsa! Buat penyelidikan sebelum membuat sebarang pelaburan atau penyertaan. Risiko yang paling besar ialah kehilangan wang yang susah payah anda perolehi selama ini. Anda juga akan merasa kesal/bingung/tertekan sekiranya anda telah memberikan maklumat peribadi anda seperti maklumat kad kredit dan akaun bank kepada syarikat yang tidak bertanggung jawab tersebut.

Orang yang terlibat di dalam komplot penipuan ini mungkin boleh menggunakan maklumat yang anda beri kepada mereka untuk kerja-kerja penipuan yang lain seperti mengklon kad kredit anda atau membuat pengeluaran daripada akuan bank anda tanpa anda ketahui. Sekiranya anda menjadi mangsa kepada penipuan peluang perniagaan yang beroperasi di luar negara, anda tidak akan mempunyai tempat untuk ditujui di dalam negara bagi membantu anda menyelesaikannya.

Diharap anda mendapat manfaat darinya.

Salam sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm
Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

« Previous PageNext Page »