Archive for March, 2006

Tips Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan (Part 1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semalam saya telah senaraikan begitu banyak contoh peluang yang biasanya menipu. Tetapi kadang-kadang kita tidak dapat mengenalpasti adakah ia satu penipuan kerana kurangnya pengetahuan. Oleh itu, hari ini saya akan berikan serba sedikit tips yang boleh dijadikan panduan agak anda tidak akan menjadi mangsa. Tips-tips ini saya perolehi daripada pelbagai sumber termasuk ehomemakers.net .

Kebanyakan iklan disuratkhabar memerlukan anda SMS nama dan alamat anda ataupun menghantarkan sampul surat beralamat sendiri untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selepas itu, anda akan menerima surat yang akan menerangkan lebih terpeinci mengenai program, perniagaan atau apa jua peluang yang ingin ditawarkan.

Disinilah anda perlu berhati-hati menilai mana satu peluang yang benar-benar sesuai untuk anda selain benar-benar menguntungkan anda (bukan pihak pengiklan sahaja)

Selain suratkhabar, internet adalah salah satu sumber terbaik untuk mencari peluang menambahkan pendapatan. Apabila anda memilih untuk mencarinya melalui internet, pastinya anda mendapatkan akaun email dan meluangkan masa melayari pelbagai laman web untuk mencari peluang kerja yang sesuai.

Salah satu nasihat saya ialah menyediakan satu akaun email khas untuk digunakan semasa proses pencarian yang sesuai. Jika anda memberikan alamat email peribadi anda (yang digunakan untuk berhubung dengan rakan-rakan atau urusan lain), jangan terkejut jika anda menerima puluhan email (dari mereka yang tidak dikenali) dan anda akan membuang banyak masa menyemak dan memadam email yang tidak dikehendaki.

Ini biasanya berlaku apabila anda memberikan nama dan alamat email anda di sesebuah laman web untuk mendapatkan sesuatu (seperti ebuku, lapuran,akses laman web atau perkhidmatan percuma). Maklumat anda juga mungkin dijual atau disewa kepada pihak ketiga yang ingin mencari prospek untuk menjual produk atau perkhidmatan mereka.

Anda mungkin dapati peti e-mel anda dihujani dengan e-mel yang menjemput anda mengambil bahagian dalam skim kewangan, peluang perniagaan dan sebagainya yang kesemuanya menjanjikan kejayaan. Begitulah menurut pengirimnya.

Apa yang harus anda buat? Bagaimana anda hendak mengenalpasti peluang sebenar di antara selonggok iklan yang kesemuanya kelihatan menarik? Jika anda pernah terjumpa peluang-peluang seperti yang dibincangkan didalam post sebelum ini, anda perlu mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenainya kerana dikhuatiri anda akan kecewa.

Saya sendiri pernah tertipu beberapa kali semasa mula-mula saya mencari peluang pekerjaan dari rumah. Namun, setelah saya membuat pelbagai kajian dan pembacaan, barulah saya ketahui bahawa sebenarnya kita boleh mengelakkan diri daripada menjadi mangsa. Berikut adalah beberapa tips yang boleh anda gunakan didalam pencarian anda.

#1 – Siapakah Anda?

Tanya soalan ini kepada sesiapa sahaja yang menawarkan anda pekerjaan secara online atau pos. Dalam kes ini, anda mempunyai hak untuk tahu lebih lanjut mengenai mereka, termasuklah menyemak mereka dengan pihak berwajib seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Anda boleh menyemak kesahihan maklumat melalui laman web SSM di http://www.ssm.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat terpeinci mengenai syarikat.

Dalam hal ini, anda pastinya mempunyai banyak soalan penting untuk mereka jawab, termasuk harga barangan, bentuk perniagaan atau pekerjaan, pembayaran komisen atau elaun dan sebagainya.

Contohnya, anda mungkin berpendapat bahawa syarikat tersebut akan mencarikan pelanggan untuk anda, sedangkan mereka mungkin hanya bersedia untuk menyerahkan kepada anda senarai e-mel/alamat yang mungkin dibeli dari syarikat lain. Anda sendiri terpaksa melakukan kerja keras dan mendapatkan peluang perniagaan sendiri. Dapatkan butir-butirnya. Ingat, syarikat yang kelihatan terlalu berahsia mengenai butir-butir mereka patut disyaki.

Anda juga perlu berhati-hati dengan syarikat yang tidak melampirkan sebarang kaedah untuk menghubungi mereka samada melalui telefon, email ataupun surat. Sebuah syarikat yang sah tentu gembira untuk memberitahu anda siapa, apa, di mana, bila dan bagaimana bentuk perniagaan mereka.

#2 – Kaji sebelum memberikan maklumat peribadi anda

Jelas, bukan? Walaupun begitu, ramai di antara mereka yang baru mula menceburi bidang pekerjaan dari rumah yang mudah terpengaruh dan memberikan maklumat sensitif ini hanya kerana mereka diminta berbuat demikian melalui e-mel. Kaji dahulu – permintaan itu mungkin kedengaran tidak mencurigakan – sebagai sebahagian daripada tawaran, anda mungkin diminta untuk memberikan nama dan butir-butir peribadi seperti No. Kad Pengenalan, alamat rumah , dll supaya kad “pekerja” boleh dikeluarkan untuk anda.

Ataupun, berikan butir-butir kad kredit supaya satu lagi kad “EMAS” akan menjadi milik anda tanpa persoalan. Jangan sekali-kali memberi butir-butir ini kerana sungguh mudah bagi mereka menggunakannya untuk tujuan penipuan. Sekiranya anda membuat keputusan untuk menyertainya, elakkan daripada menghantar maklumat kad kredit anda melalui internet melainkan anda benar-benar pasti tentang pihak yang menerimanya.

Sentiasa pastikan urusan yang dibuat dengan menggunakan kad kredit adalah selamat, terutamanya apabila anda memberikan maklumat peribadi bersamanya. Jangan lupa untuk mencatat dan merekodkan semua maklumat urusniaga dan pihak yang menerimanya.

#3 – Email/surat dari orang yang tidak dikenali

Jangan buka emel yang anda terima daripada orang yang anda tidak kenali. Sekirannya anda memilih untuk membukanya juga, anda juga menghadapi risiko kemungkinan komputer anda akan dijangkiti virus. Sememangnya peluang berniaga di rumah sangat menarik, tetapi anda perlu menolak mana-mana tawaran yang tidak memberitahu anda dengan siapa anda berurusan sebenarnya atau tempat anda menghantar pelaburan anda secara terperinci.

Email ini biasanya akan dipenuhi dengan perkataan HURUF BESAR dan tanda $$$ menandakan wang segera. Anda akan selalu melihat kata-kata seperti, MUDAH DAN SENANG, ANDA BOLEH MEMPEROLEHI BERIBU-RIBU RINGGIT, PEROLEHI $$ TANPA MEMBUAT APA-APA dan sebagainya. Emel/surat ini biasanya lebih menekankan kepada betapa senangnya mendapatkan sejumlah wang yang banyak dengan cepat tanpa bersusah payah.

Adakah syarikat itu sendiri yang menawarkan pekerjaan? Ataupun, mereka “hanya” menawarkan untuk menjual kepada anda bahan-bahan latihan dan bertindak sebagai agen dalam mendapatkan peluang perniagaan kepada anda?

#4 – Untung Yang Besar Tidak Datang Dengan Mudah

Kata-kata ini bagaimanapun seringkali dilupakan. Dengan bekerja atau menjalankan perniagaan dari rumah sama juga seperti menjalankan jenis perniagaan lain di mana untung atau jika bekerja gaji yang diterima adalah sesuatu yang penting. Secara amnya, anda memindahkan pejabat ke rumah anda, itu sahaja! Untuk mendapatkan wang yang banyak, anda hendaklah meneliti perkara-perkara asas, contohnya cari sesuatu yang anda boleh lakukan dengan baik, lakukannya dengan tekun, melabur dengan baik dalam peralatan dan sentiasa memperbaiki kemahiran dan pengetahuan anda.

Jika seseorang menawarkan anda wang ringgit yang banyak bagi “kerja yang sedikit”, awaslah – tentu ada sesuatu yang tak kena. Antara ayat yang sering digunakan ialah “Sekiranya anda ingin mendapatkan beberapa ribu ringgit dengan cepat, sila luangkan sedikit masa untuk membaca dan memahami program yang mudah ini,” kata salah satu daripada emel yang saya terima. Ia diteruskan dengan, “Saya yakin anda akan berpuas hati dengan RM15,000 atau lebih yang akan anda perolehi dalam tempoh 90 hari.”

Walaupun pada permulaan emel/surat tersebut menjanjikan wang segera tanpa perlu berbuat apa-apa, tetapi daripada pembacaan saya seterusnya saya dapati bahawa untuk melayakkan diri saya mendapat habuan tersebut saya perlu melaburkan sejumlah wang saya sendiri. Sudah tentu ada risiko kehilangan wang pelaburan kita tetapi di dalam emel tersebut masih lagi boleh mengatakan yang skim ini “tidak berisiko”.

#5 – Terdapat faktor mendesak

Selalunya pasti ada had penyertaan sebagai faktor mendesak seperti “Peluang ini hanya untuk 10 orang pertama yang menyertainya sahaja”. Pemangsa mendesak anda membuat keputusan samada mahu atau tidak melaburkan wang anda. Mereka tahu bahawa lagi cepat anda membuat keputusan, lagi sedikit anda berfikir dan memeriksa samada skim ini benar atau palsu.

Dan sekiranya mereka hanya beroperasi untuk sementara waktu sahaja, keadaan ini memberi peluang kepada mereka untuk mengaut semua pelaburan dan melarikan diri. Kadang-kadang, ada juga skim yang menghendaki anda menghantar wang/pelaburannya sebelum anda mengetahui apakah sebenarnya skim atau program atau perniagaan atau pekerjaan itu dengan lebih lanjut. Ini adalah sangat bahaya lebih-lebih lagi jika tiada maklumat untuk dihubungi.. sekadar alamat email mahupun PO Box.

..Saya akan sambung pada part 2.

Salam sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com/
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com/
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm
Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

Tags :

Berhati-hati sebelum membuat pilihan (Part 2)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ok saya sambung daripada part 1. Dimana kita dah tahu mereka yang sering menjadi mangsa penipuan. Jadi sekarang saya akan bincang pula tentang dimanakah biasanya MANGSA dan PEMANGSA bertemu.

Pada fikiran anda, terdapat 2 kaedah terbaik iaitu suratkhabar dan internet. Dan disinilah lubuk untuk DAPAT WANG ATAU HILANG WANG. Namun,anda perlu berhati-hati kerana anda mungkin akan kecewa kerana menghabiskan wang, masa dan tenaga kerana anda telah menjadi mangsa penipuan!

Berikut disenaraikan beberapa jenis penipuan yang sering ditemui samada melalui iklan di suratkhabar tempatan mahupun internet;

#1)Mengisi sampul surat:
Merupakan satu kaedah yang paling klasik sekali dimana ia bermula semasa Kegawatan Ekonomi Amerika Syarikat sekitar tahun 1920-an dan 1930-an. Anda dijanjikan akan dibayar antara RM1-2 untuk setiap envelop yang anda isikan. Anda hanya perlu membayar sedikit yuran dan anda DIJAMIN akan menerima sehingga 1,000 sampul surat seminggu… yang telah siap diisi dan lengkap ditampal dengan setem! Apa yang tidak dinyatakan ialah anda perlu mendapatkan alamat bakal pelanggan.

Setelah pembayaran dibuat, anda akan menerima satu manual ringkas dan contoh flyer yang perlu anda edar atau iklankan dalam usaha anda mendapatkan alamat pelanggan. Setelah mendapat langganan dan bayaran, anda hanya perlu fotokopi manual ringkas tersebut dan berikan kepada pelanggan anda. Kaedah yang sungguh bijak tetapi tidak beretika!

#2) Surat/Email Berantai (Perolehi Wang Segera):
Jika anda sering mencari peluang pendapatan dari rumah melalui internet/suratkhabar, anda pastinya pernah menerima dan melihat surat/email berantai ini. Mereka menjanjikan bahawa anda hanya perlu menghantar surat/email bersama sejumlah wang kepada nama mereka yang tersenarai, kemudian mengeluarkan nama diaras bawah sekali dan digantikan dengan nama anda.. dengan harapan suatu hari anda akan menjadi jutawan.

Ia juga ada dikatakan didalam versi kutu atau konsep saling membantu melalui kaedah sedekah dimana anda bersetuju untuk memberikan wang tersebut tanpa sebarang paksaan. Pada saya ia adalah satu bentuk skim piramid. Biasanya ia senarai ini akan dimanipulasikan dimana hanya satu nama sahaja yang sentiasa berada diatas(pengasas program) dan akan menerima wang sangat banyak. Program seperti ini sepatutnya digelar Program “Hilang Wang Segera”….

#3) Sila dail nombor 600 untuk maklumat lanjut :
Anda tidak perlu menghabiskan banyak masa (dan wang) dengan mendail nombor-nombor sebegini. Anda pastinya tahu bahawa kos panggilan ke nombor 600 sangat mahal iaitu RM1.95 seminit (7.00 pagi-7.00 mlm) dan RM0.98 (7.00 mlm-7.00 pagi). Bayangkan jika anda menghabiskan 5 minit diwaktu siang, anda telah membazirkan hampir RM10.00 dan disitulah mereka memperolehi keuntungan. Simpan wang anda dan jangan mendail mana-mana nombor 600 hanya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai apa yang dikatakan peluang bekerja dari rumah..

#4) Senarai Nama Syarikat :
Jangan terpedaya dengan membeli senarai syarikat yang memerlukan khidmat pekerja di dari rumah..melalui kaedah ini , anda membayar untuk mendapatkan senarai syarikat yang mencari pekerja dari rumah sama seperti anda samaada dalam bentuk digital atau bercetak.

Antara syarikat yang biasa tersenarai ialah syarikat yang menawarkan pekerjaan pemasangan barangan, pengurusan katalog, syarikat MLM, dll. Apa yang menjadi masalahnya ialah, Senarai ini tidak semestinya betul benar kerana syarikat tersebut mungkin tidak mencari pekerja dari rumah ataupun tidak pernah bersetuju untuk disenaraikan, atau tidak dapat dipastikan adakah perniagaan tersebut dijalankan secara sah atau masih terbuka peluang untuk anda memohon. Biasanya adalah sukar untuk anda mendapatkan kembali wang anda.

#5)Memasang barangan:
Biasanya peluang serupa ini akan memberitahu bahawa ada akan memasang barangan seperti anak patung, komponen elektronik, permainan kanak-kanak, produk kegunaan hotel dan pelbagai lagi projek kraftangan yang boleh dilakukan dirumah dan dijanjikan upah yang lumayan. Apa yang perlu anda lakukan ialah dengan membayar deposit/ yuran pendahuluan (yang dijanjikan akan dikembalikan semula) dan anda akan menerima segala peralatan, barangan dan arahan yang perlu dilaksanakan. Sangat menarik bukan?

Anda akan bernasib baik jika menerima produk yang dijanjikan selepas membuat pembayaran kerana saya pernah kehilangan RM70 begitu sahaja tanpa menerima apa-apa!. Apa yang berlaku ialah, apabila anda telah menerima produk dan menyiapkan mengikut arahan, anda akan dimaklumkan bahawa “ produk anda tidak menepati spesifikasi” walaupun jika anda adalah robot, adalah mustahil untuk anda menepati kehendak mereka. Syarikat ini sebenarnya membuat keuntungan melalui penjualan starter kit.. bukannya produk yang dipasang.

Selain suratkhabar, internet adalah salah satu sumber terbaik untuk mencari peluang menambahkan pendapatan. Oleh itu, anda pun mendapatkan akaun emel dan meluangkan masa melayari pelbagai laman web untuk mencari peluang kerja yang sesuai.

Nampaknya peluangnya banyak hinggakan walaupun anda tidak mencarinya, anda mungkin dapati peti e-mel anda dihujani dengan e-mel yang menjemput anda mengambil bahagian dalam skim kewangan, peluang perniagaan dan sebagainya yang kesemuanya menjanjikan kejayaan. Begitulah menurut pengirimnya. Apa yang harus anda buat? Bagaimana anda hendak mengenalpasti peluang sebenar di antara selonggok iklan yang kesemuanya kelihatan menarik?

#6)Menaip dari rumah (data entry clerk, typist, email processing clerk,etc) :
Jika anda sering menggunakan komputer, pastinya tidak mustahil anda menjadi seorang jurutaip yang bagus. Jadi pastinya menarik apabila anda boleh menggunakan kemahiran anda itu sebagai salah satu kaedah menjana pendapatan hanya dengan menaip dari rumah. Peluang seperti ini juga sering diiklankan untuk memerangkap anda dengan pelbagai nama jawatan. Bagaimana ia dijalankan?

Biasanya selepas menjelaskan sejumlah wang kepada “penipu” ini hanya untuk mendapatkan “maklumat lanjut” anda biasanya akan menerima bahan-bahan melalui disket, muat turun atau maklumat bercetak yang akan memberikan anda pelbagai maklumat berkaitan dimana dan bagaimana anda boleh mengiklankan tentang peluang “menaip dari rumah” serta risalah jualan (dalam flyer, surat, email, laman web,dlll) akan diberikan kepada sesiapa yang berminat.

Apabila mereka membuat pesanan untuk mendapatkan “maklumat lanjut” (sama seperti yang anda telah lakukan sebelum ini), anda hanya perlu mencetak/menyalin semua bahan yang anda telah terima kepada pelanggan anda. Sebenarnya ia akan cuba menjadikan anda seorang PENIPU!! Kerana hakikatnya tiada sebarang produk yang dijual, hanya maklumat tentang kaedah dan bahan mengiklankannya.

#7)Perolehi Wang Dengan Melayari Internet:
Anda dikehendaki untuk daftar masuk ke laman internet tersebut sebanyak x kali atau memuat turun sesuatu perisian pelayar internet ke computer anda, dan membaca iklan atau melihat papan iklan yang tertera. Syarikat laman tersebut akan mengenakan bayaran kepada syarikat-syarikat yang membuat iklan dan ganjaran akan diberikan kepada ahli yang memenuhi kuota.

Apa yang anda tidak ketahui ialah, anda akan mengambil masa yang lama untuk mencapai kuota yang telah ditetapkan sebelum anda layak menerima skim bayarannya, itupun sekiranya anda berjaya mencapainya. Tiba masa anda menerima bayaran, jumlah tersebut akan ditolak pula dengan kos pengurusan (boleh mencecah 20 peratus). Situasi yang lebih teruk yang boleh berlaku ialah penutupan laman web tersebut sebelum mana-mana peserta sempat menerima bayarannya.

Skim seperti ini semakin bercambah dan dalam pelbagai variasi seperti PAID EMAIL, PAID TO SURF, PADI TO DOWNLOAD dan sebagainya . Walau bagaimanapun, sekiranya anda ingin mencuba skim-skim seperti ini, anda perlu memerhatikan perkara-perkara ini terlebih dahulu:

#8) Melobi Wang :
Skim ini telah wujud semenjak beberapa tahun yang lalu. Daripada permulaannya dulu menggunakan surat dan fax, kini ia semakin canggih, dengan menggunakan e-mel sebagai medium utama. Skim tersebut memberitahu anda yang pengirimnya (kebiasaannya daripada negara di Benua Afrika) mempunyai sejumlah wang yang banyak, memerlukan pertolongan anda untuk memindahkan wang ini ke dalam akaun bank anda, dan sekiranya berjaya, anda akan mendapat x peratus daripada jumlah tersebut.

Ramai ahli peniagaan yang bijak, dan para remaja telah terpedaya oleh skim seperti ini kerana sifat tamak. Khabar angin ada mengatakan, selepas melakukan perpindahan wang, sebahagian daripada peserta ada yang telah dibunuh selepas bertolak untuk menemui pengirimnya. Sebahagian lagi telah kehilangan sejumlah wang yang besar daripada akaun bank mereka, ataupun kehilangan barangan peribadi yang digunakan dalam jenayah yang lain. Berita penipuan seperti ini pernah disiarkan di suratkhabar METRO pada tahun lalu.

#9) Internet MLM :
Jika anda pernah terdengar syarikat MLM seperti Amway, Revell, CNI dan Cosway anda pasti tahu bahawa ia merupakan perniagaan MLM yang sah dimana para agen perlu menjual sesuatu produk atau perkhidmatan. Salah satu masalah yang sering menimpa sistem MLM ialah kewujudan Sistem Piramid iaitu proses kenaikan pangkat melalui penajaan ahli menjadi lebih penting daripada proses menjual produk atau perkhidmatan.

Syarikat-syarikat ini menjanjikan pulangan yang hebat melalui skim piramid dan dan ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa kepada Skim Cepat Kaya walaupun telah banyak amaran yang diberikan oleh kerajaan. Sebaiknya Periksa latar belakang syarikat tersebut sebelum anda membuat keputusan untuk menyertainya sebagai ahli.

Jika syarikat tersebut tidak berdaftar di Malaysia, anda tidak boleh membuat aduan kepada mana-mana pihak berkuasa tempatan. Anda juga tidak boleh membuat aduan kepada orang yang memperkenalkan skim tersebut kepada anda kerana dia juga hanya merupakan seorang ahli sahaja.

#10) Sistem Affiliate:
Sistem affiliate ialah dimana seseorang individu akan dibayar sejumlah komisen apabila berjaya membuat jualan produk/perkhidmatan yang ditawarkan oleh penganjur sistem. Biasanya penganjur boleh jadi orang perseorangan mahupun syarikat namun ia bukanlah syarikat yang mempunyai lesen AJL. Maka ia tidak dikategorikan sebagai jualan langsung.

Sejak akhir-akhir ini semakin ramai rakyat Malaysia yang mula membuat sistem affiliate sendiri. Namun, saya kira kebanyakkannya lebih menjurus kepada bentuk sistem piramid yang lebih mengutamakan kemasukan ahli baru berbanding kualiti produk.

Oklah, rasanya dah banyak yang saya tuliskan mengenai peluang yang ada dan penipuan yang sering terjadi. Harapan saya agar kita akan lebih berhati-hati dalam memilih dan janganlah hanya kerana ia menjanjikan PENDAPATAN LUMAYAN.. kita terjebak walaupun sedar bahawa ia adalah salah.

Maaf kiranya post kali ini agak panjang. Dan maaf juga jika ada yang tersinggung. Jika anda pernah terlibat dengan mana-mana program seumpama ini, boleh juga tuliskan komen anda agar dapat dikongsi oleh pembaca lain untuk dijadikan panduan. Wassalam.

Salam Sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm

Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

Tags : ,

Berhati-hati sebelum membuat pilihan (Part 1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dalam usaha saya mencari apakah peluang yang sesuai untuk diri saya. Saya telah menemui pelbagai peluang yang kadang-kadang begitu sukar untuk dipercayai kerana ia menjanjikan pulangan yang sangat lumayan tetapi kerja yang perlu dilakukan kedengarannya begitu mudah.

Diharap tulisan saya pada hari ini akan memberi panduan kepada anda didalam membuat pilihan bijak kerana peluang berbentuk bekerja dari rumah dan perniagaan dari rumah telah tersenarai diantara jenis penipuan yang begitu popular masakini.

Anda akan mempelajari tentang pelbagai “peluang” perniagaan dari rumah serta program berbentuk bekerja dari rumah yang biasa dilihat/dijumpai oleh anda di pelbagai medium seperti internet dan surat khabar.

Terdapat dua jenis penipuan yang sering berlaku dimana sasaran utama “penipu” ini ialah sesiapa sahaja yang ingin menjana pendapatan dari rumah samada dengan ;

1. Melaksanakan kerja hanya dari rumah seperti melakukan aktiviti seperti mengisi sampul surat, pemasangan barangan dimana anda (sepatutnya) dibayar oleh syarikat sebagai pekerja. Memang terdapat pekerjaan sebegini terutamanya didalam bidang telekomunikasi (sebagai telemarketer) tetapi peluang bekerja dari rumah biasanya berakhir dengan penipuan.

2. Membantu anda memulakan perniagaan dari rumah anda seperti program pembeli misteri, perniagaan rangkaian atau perniagaan lain yang sebenarnya hanya memenuhkan poket “penipu” tersebut. Pastinya BANYAK peluang perniagaan yang sah yang boleh membantu anda memulakan perniagaan anda sendiri.

Apa yang penting ialah anda berupaya mengenalpasti yang mana satu peluang sebenar dan yang manakah hanya penipuan semata-mata. Ini akan dapat menjimatkan masa, wang dan juga mengelakkan kekecewaan anda sebelum terperangkap dengannya.

INGAT.. jika ia kedengaran seperti suatu peluang yang SANGAT BAIK untuk dipercayai (terutamanya jika ia mudah dan menguntungkan) … mungkin ia suatu PENIPUAN.

Mengapa Penipuan Seperti Ini Begitu Berjaya? Ini semua bermula disegi psikologi. Secara semulajadinya, ramai yang ingin memperolehi wang mudah, dan mereka ini sasaran utama “penipu” yang menawarkan peluang bekerja dari rumah. Antara golongan yang sering menjadi sasaran ialah ;

  1. Mereka yang sakit, kurang upaya atau orang tua kerana pastinya sukar untuk mendapatkan pekerjaan biasa.
  2. Surirumah samada janda atau bersuami yang sedang mencari peluang menambah pendapatan dalam masa menjaga anak-anak dan keluarga.
  3. Mereka yang berpendapatan rendah atau kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja dan terdesak untuk mencari pekerjaan untuk menampung perbelanjaan keluarga dan menjelaskan hutang dan bil yang semakin menimbun.
  4. Mereka yang tidak berpendidikan tinggi yang pastinya tidak bermaksud anda bodoh (anda hanya tidak melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti).
  5. Mereka yang menghadapi masalah kewangan akibat kos hidup yang meningkat tetapi gaji tak naik-naik..

Kesimpulannya, mereka inilah yang menjadi sasaran utama penipu. Jika anda termasuk didalam mana-mana golongan ini, anda perlu lebih berhati-hati. Demi mencapai tahap fleksibiliti atau keuntungan yang diharapkan, anda telah mengambil keputusan untuk bekerja di rumah. Tetapi, bagaimana anda mendapat peluang pekerjaan?

Hmm.. dah panjang rupanya post nie.. saya akan sambung pada post seterusnya.

Salam sukses!

Tags :

Apakah Peluang Yang Ada?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni saya akan berkongsi dengan anda mengenai peluang yang boleh kita rebut untuk tambah pendapatan melalui internet. Sejak 2001 saya memang bertemu dengan begitu banyak peluang. Apakah maksud peluang sebenarnya?Peluang ialah satu keadaan yang boleh memberi faedah atau membawa kejayaan kepada seseorang yang muncul atau diwujudkan untuk diambil segera.

Peluang biasanya menghampiri seseorang itu dalam keadaan yang samar-samar dan tidak pasti. Cuma seseorang yang cekap dan bersedia sahaja yang dapat mencekup peluang yang ujud di hadapannya. Peluang yang lambat direbut akan terlepas ke tangan orang lain atau tidak akan memberikan pendapatan yang bergitu lumayan jika ia direbut lebih awal.

Dalam konteks peluang-peluang yang boleh dilakukan dari rumah, saya mengkategorikannya kepada 2 jenis peluang iaitu samaada anda memilih untuk bekerja atau memulakan perniagaan dari rumah. Anda perlu tentukan sendiri yang manakah yang akan menjadi pilihan anda. Terdapat pelbagai pro dan kontra bagi setiap pilihan.

Dengan bekerja dari rumah, anda hanya bertukar tempat kerja dimana kini anda boleh melakukannya di rumah. Anda perlu berhati-hati didalam pemilihan kerja yang anda akan lakukan kerana anda masih terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak majikan seperti tarikh akhir tugasan dan juga standard yang perlu anda patuhi. Anda perlu benar-benar yakin anda mampu menjalankannya terutamanya disegi perancangan masa serta komitmen yang tinggi. Anda boleh membuat perbincangan dengan majikan anda jika anda benar-benar ingin bekerja dari rumah dengan syarikat anda sekarang.

Di Malaysia, masih kurang majikan yang menawarkan peluang bekerja dari rumah. Jika ia tidak dapat dilakukan, anda perlu menjalani proses “mencari kerja” buat kali kedua. Namun, anda perlu berhati-hati kerana anda akan bertemu dengan banyak “peluang kerja palsu” yang akan hanya menghabiskan wang anda tanpa memperolehi pendapatan yang dijanjikan.

Berbeza pula keadaanya apabila anda memilih untuk memulakan perniagaan dari rumah. Ia memerlukan perancangan yang lebih teliti sebelum memulakannya dimana anda sendiri menentukan jatuh bangunnya perniagaan anda. Dengan memilih kaedah ini, anda mempunyai lebih banyak peluang untuk membuat sebarang keputusan berkaitan perniagaan anda.

Sebenarnya terdapat begitu banyak perniagaan yang boleh dijalankan dari rumah yang boleh anda ceburi. Apa yang perlu anda lakukan ialah penyelidikan menyeluruh mengenai peluang, minat dan kemahiran yang ada didalam diri anda. Ini adalah sangat penting kerana ia akan dapat menentukan apakah produk atau perkhidmatan yang paling sesuai untuk dijayakan.

Jadi, tepuklah dada tanya selera. Bidang mana satukah yang ingin anda ceburi. Tetapi untuk mencapai kejayaan tidaklah semudah yang disangka kerana pastinya banyak cabaran yang perlu anda tempuhi. Apa yang penting ialah keyakinan diri yang tinggi, perancangan yang baik, disiplin diri dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri. Insya allah anda akan berjaya.

Salam sukses!

Tags :

Mengapa Saya Memilih Untuk Bekerja Dari Rumah?

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Tahukah anda bahawa pada setiap tahun, semakin ramai yang memilih untuk bekerja atau berniaga dari rumah. Terdapat banyak sebab mengapa seseorang itu memilih situasi ini. Saya telah memilih untuk berhenti kerja atas alasan untuk menumpukan lebih banyak masa untuk keluarga dan anak-anak disamping berupaya memperolehi pendapatan sampingan tanpa perlu meninggalkan rumah.

Saya pasti anda juga mempunyai keinginan yang sama (jika tidak anda tidak akan membaca blog ini). Terdapat banyak sebab mengapa saya memilih untuk bekerja dari rumah. Antaranya ialah;

Kebebasan : Bukankah semua orang inginkan kebebasan dalam menjalankan sebarang tugas dan ini tidak akan diperolehi jika anda menjadi pekerja. Saya lebih suka mengabil risiko didalam membuat kesilapan dalam perniagaan saya dan memperbaikinya. Ia akan memberikan kepuasan yang tak terhingga kerana ia adalah hasil usaha anda yang tulen.

Keseronokan belajar dari pengalaman : Kita akan belajar daripada kesilapan kita lebih pantas apabila kita bekerja sendirian. Dengan itu, anda akan membuat kesilapan baru tanpa mengulangi kesilapan yang sama didalam suasana ayang terkawal.

Kebebasan membuat keputusan: Semua orang pastinya ingin menjadi kapten kapal dan penentu kepada matlamat. Semasa bekerja saya perlu mendapat kelulusan/pendapat pelbagai pihak sebelum membuat sebarang keputusan hanya kerana perlu megikut prosedur tertentu.

Waktu bekerja yang fleksibel : kebebasan untuk memilih waktu bekerja sendiri adalah sangat menyenangkan diri saya Jika sebelum ini saya terpaksa bekerja lebih 8 jam disamping merasakan diri dieksploitasi selain kehidupan rumahtangga yang agak sukar diuruskan benar-benar memeningkan kepala. Kini sejak saya mula bekerja dari rumah, saya boleh memilih untuk bekerja 1- 2 jam sahaja sehari selain berupaya menguruskan rumahtangga dengan gembira tanpa sebarang tekanan!

Cabaran baru: Adakah anda manusia yang akan menyahut segala cabaran dan memenanginya? Jika ya, ini bermakna anda berkongsi satu sifat yang bagus bersama usahawan lain yang telah berjaya didalam bidang perniagaan seumpama ini.

Kualiti kerja terbaik: Oleh kerana saya bekerja sendiri, kecemerlangan merupakan faktor terpenting. Sebagai pekerja anda biasanya terpakasa menjalankan pelbagai tugas lain yang tidak berkaitan dengan minat/kepakaran anda hanya kerana arahan majikan. Dan ini biasaya menghasilkan rasa tidak puashati. Dalam perniagaan ini, ia memberikan anda kebebasan untuk melakukan perkara terbaik untuk menjadi terbaik.

Reputasi: Anda akan dikenali berdasarkan kualiti kerja anda sebagai individu, bukan dari organisasi yang anda wakili atau pangkat anda. Dengan itu anda membina reputasi dan identiti anda tersendiri.

Pulangan yang lebih lumayan: Biasanya gaji dan pangkat anda tidak sejajar dengan pencapaian anda. Selain itu ia juga banyak dipengaruhi oleh kelulusan dan pengalaman anda. Dengan perniagaan ini, anda tidak perlukan semua itu, anda tentukan berapa banyak pulangan yang anda inginkan dan berusaha mencapainya.

Saya telah menyenaraikan beberapa sebab mengapa saya memilih untuk bekerja dari rumah. Anda pasti mempunyai sebab tersendiri yang boleh anda fikirkan. Adalah penting untuk mengetahui “mengapa” anda memilih bidang ini sebelum anda memutuskan “apakah bidang” yang anda ingin lakukan. Fikir-fikirkanlah..

Salam Sukses!

Tags :