Tips Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan (Part 2)

…sambungan dari part 1.

#6 – Adakah Wang Anda Akan Dikembalikan?

Sesetengah peluang perniagaan mungkin melibatkan pembelian peralatan, bahan-bahan dan sebagainya. Satu perkara yang anda mesti tahu ialah samada syarikat tersebut mempunyai polisi pemulangan kembali wang. Jika ya, anda perlu tahu syarat-syaratnya sebelum anda membuat komitmen.

Ada dua aspek mengenai perkara ini: Pertama, anda tidak mahu terlibat di dalam skim di mana syarikat tersebut menjalankan perniagaan dengan memperolehi keuntungan daripada penjualan peralatan dan barang-barang ini. Kedua, jika perniagaan ini sahih dan anda dapati selepas anda menceburinya, ianya tidak sesuai dengan anda, anda harus tahu bagaimana hendak mengurangkan kerugian.

#7 – Adakah Ia Menguntungkan Walaupun Dengan Kerja Keras?

Ada beberapa jenis penipuan yang berselindung di sebalik nama premis pekerjaan di mana anda perlu membeli “perniagaan” itu dalam jumlah yang ditetapkan dan selepas itu anda akan diberi “Pakej Permulaan” dan anda dikehendaki menyiapkan kerja tersebut. Ia adalah satu penipuan kerana kerjanya adalah sukar dan tidak memberangsangkan, tambahan pula produk itu sendiri tidak dapat dipasarkan dengan jayanya.

Tujuan sebenarnya ialah supaya anda akan putus asa, dan apabila anda berhenti, pelaburan awal anda akan hangus. Tiada pulangan wang bagi anda tetapi sebaliknya keuntungan kepada syarikat. Jenis penipuan seperti ini seringkali menyiarkan iklan mereka dengan mengatakan tiada polisi pemulangan wang dalam cetakan kecil.

#8 – Pengetahuan Mengenai Pasaran

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak permintaan dan iklan bagi pekerja dari rumah bagi beberapa “perkhidmatan khusus” seperti perkhidmatan pengebilan terutamanya dalam industri perubatan dan utiliti, dan kerja-kerja seni dan kraftangan. Buatlah kajian pasaran sebelum anda mendaftar. Adakah berbaloi tugas ini dengan tenaga yang anda keluarkan.

Contohnya benarkah wujud pasaran di tempat anda bagi perkhidmatan seperti ini? Jika anda diambil bekerja dengan janji bahawa ada pelanggan sedia ada yang telahpun menggunakan perkhidmatan tersebut, hubungi mereka untuk mendapatkan kepastian, dan dapatkan gambaran sebenar tentang perkhidmatan yang diperlukan.

#9- Tuntutan Perundangan
Panduan ini sebenarnya berkait rapat dengan perkara di atas. Sebelum anda mula menerima apa saja jenis kerja khusus, periksa dahulu jika ada keperluan perundangan tertentu. Ini mungkin termasuk tuntutan perlesenan, pendaftaran dan pengezonan bagi beberapa jenis aktiviti perniagaan tertentu. Periksa dengan pihak berkuasa tempatan contohnya majlis perbandaran ataupun Pendaftar Syarikat bagi tuntutan-tuntutan ini.

#10 – Periksa Sumber Maklumat

Sebelum anda melibatkan diri dengan apa sahaja jenis perniagaan tertentu, periksa sumber-sumber maklumat seperti jurnal perdagangan dan laman web berkaitan. Sumber-sumber ini dapat memberikan maklumat yang berguna dan boleh dipercayai mengenai berita, latihan, dan acara-acara tertentu.

Anda juga mungkin dapat memperolehi maklumat terperinci mengenai perkara-perkara berkaitan seperti agensi kerajaan yang terlibat dan maklumat mengenai pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam industri tersebut. Anda juga boleh menyertai forum untuk bertanya soalan, mengemukakan isu-isu berkaitan dan sebagainya.

#11 – Tawaran Istimewa

Sebahagian daripada cara “menghidu” penipuan ialah dengan melihat jika terdapat apa yang dipanggil wang pendahuluan terhadap gaji anda selepas anda mendaftar dengan sesebuah syarikat. Ini adalah cara biasa yang digunakan untuk menarik kepercayaan anda, serta untuk menipu wang anda.

Pertama, anda akan menerima sekeping cek – kononnya adalah wang pendahuluan bagi gaji bulan pertama anda. Ini memberikan anda keyakinan bahawa perniagaan itu benar-benar sah. Setelah mendapat bayaran itu, anda tentu akan pergi mendepositkan cek tersebut.

Sebelum sempat cek itu diluluskan oleh bank, anda akan dihubungi oleh pihak syarikat yang meminta supaya anda memulangkan sebahagian daripada wang tersebut, atau untuk memulangkan cek tersebut kerana berlaku sedikit kesilapan.

Mereka juga berjanji yang anda akan menerima bayaran yang sebenar tidak lama lagi. Selepas anda memulangkan wang itu (menggunakan cek anda), anda akan diberitahu oleh pihak bank bahawa cek yang diberikan oleh syarikat adalah cek tendang. Dengan ini, mereka telah berjaya menipu wang anda. Apa yang anda dapat adalah cek tendang dan tiada harapan untuk anda mendapat wang anda kembali daripada syarikat.

#12 – Piramid – Bentuk Yang Harus Dicurigai

Skim Piramid adalah berita buruk, tidak kira dari sudut mana anda melihatnya. Secara amnya, ia adalah perniagaan yang melibatkan “perluasan perniagaan” yang dijalankan bukan dengan penjualan barang atau bayaran bagi perkhidmatan, tetapi melalui sistem pengambilan ahli baru yang akan meneruskan perluasan perniagaan itu dengan mengambil lebih ramai lagi ahli baru.

Kadang kala, syarikat yang menjalankan skim piramid ini akan berpura-pura bahawa sebenarnya ada jual beli berlaku atas barang-barang tertentu, contohnya lukisan atau makanan kesihatan. Tetapi apabila anda meneliti dengan lebih mendalam, anda akan lihat bahawa aktiviti utamanya ialah memperluaskan dasar piramid itu dengan mendapatkan lebih ramai orang bawahan atau “downliners”.

Seringkali juga, ahli-ahli baru terpaksa membayar wang yang banyak untuk memasuki skim ini. Di negara kita, perkara ini telah banyak kali berlaku, dan ramai orang yang tidak bersalah telah tertipu. Mereka telah membayar sejumlah wang yang banyak selepas menerima pulangan awal, tetapi kemudiannya hilang kesemua wang mereka apabila piramid itu runtuh.

Jadi, pastikan ia merupakan peluang yang benar-benar sah dan berhati-hatilah apabila ditawarkan dengan “wang mudah”. Satu peringatan dari Beverly Williams, Presiden dan Pengasas American Association of Home-Based Business ialah “Terdapat SANGAT SEDIKIT peluang (bekerja dari rumah) yang sah terdapat di pasaran”.

Jangan menjadi mangsa! Buat penyelidikan sebelum membuat sebarang pelaburan atau penyertaan. Risiko yang paling besar ialah kehilangan wang yang susah payah anda perolehi selama ini. Anda juga akan merasa kesal/bingung/tertekan sekiranya anda telah memberikan maklumat peribadi anda seperti maklumat kad kredit dan akaun bank kepada syarikat yang tidak bertanggung jawab tersebut.

Orang yang terlibat di dalam komplot penipuan ini mungkin boleh menggunakan maklumat yang anda beri kepada mereka untuk kerja-kerja penipuan yang lain seperti mengklon kad kredit anda atau membuat pengeluaran daripada akuan bank anda tanpa anda ketahui. Sekiranya anda menjadi mangsa kepada penipuan peluang perniagaan yang beroperasi di luar negara, anda tidak akan mempunyai tempat untuk ditujui di dalam negara bagi membantu anda menyelesaikannya.

Diharap anda mendapat manfaat darinya.

Salam sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm
Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

Tips Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan (Part 1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semalam saya telah senaraikan begitu banyak contoh peluang yang biasanya menipu. Tetapi kadang-kadang kita tidak dapat mengenalpasti adakah ia satu penipuan kerana kurangnya pengetahuan. Oleh itu, hari ini saya akan berikan serba sedikit tips yang boleh dijadikan panduan agak anda tidak akan menjadi mangsa. Tips-tips ini saya perolehi daripada pelbagai sumber termasuk ehomemakers.net .

Kebanyakan iklan disuratkhabar memerlukan anda SMS nama dan alamat anda ataupun menghantarkan sampul surat beralamat sendiri untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selepas itu, anda akan menerima surat yang akan menerangkan lebih terpeinci mengenai program, perniagaan atau apa jua peluang yang ingin ditawarkan.

Disinilah anda perlu berhati-hati menilai mana satu peluang yang benar-benar sesuai untuk anda selain benar-benar menguntungkan anda (bukan pihak pengiklan sahaja)

Selain suratkhabar, internet adalah salah satu sumber terbaik untuk mencari peluang menambahkan pendapatan. Apabila anda memilih untuk mencarinya melalui internet, pastinya anda mendapatkan akaun email dan meluangkan masa melayari pelbagai laman web untuk mencari peluang kerja yang sesuai.

Salah satu nasihat saya ialah menyediakan satu akaun email khas untuk digunakan semasa proses pencarian yang sesuai. Jika anda memberikan alamat email peribadi anda (yang digunakan untuk berhubung dengan rakan-rakan atau urusan lain), jangan terkejut jika anda menerima puluhan email (dari mereka yang tidak dikenali) dan anda akan membuang banyak masa menyemak dan memadam email yang tidak dikehendaki.

Ini biasanya berlaku apabila anda memberikan nama dan alamat email anda di sesebuah laman web untuk mendapatkan sesuatu (seperti ebuku, lapuran,akses laman web atau perkhidmatan percuma). Maklumat anda juga mungkin dijual atau disewa kepada pihak ketiga yang ingin mencari prospek untuk menjual produk atau perkhidmatan mereka.

Anda mungkin dapati peti e-mel anda dihujani dengan e-mel yang menjemput anda mengambil bahagian dalam skim kewangan, peluang perniagaan dan sebagainya yang kesemuanya menjanjikan kejayaan. Begitulah menurut pengirimnya.

Apa yang harus anda buat? Bagaimana anda hendak mengenalpasti peluang sebenar di antara selonggok iklan yang kesemuanya kelihatan menarik? Jika anda pernah terjumpa peluang-peluang seperti yang dibincangkan didalam post sebelum ini, anda perlu mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenainya kerana dikhuatiri anda akan kecewa.

Saya sendiri pernah tertipu beberapa kali semasa mula-mula saya mencari peluang pekerjaan dari rumah. Namun, setelah saya membuat pelbagai kajian dan pembacaan, barulah saya ketahui bahawa sebenarnya kita boleh mengelakkan diri daripada menjadi mangsa. Berikut adalah beberapa tips yang boleh anda gunakan didalam pencarian anda.

#1 – Siapakah Anda?

Tanya soalan ini kepada sesiapa sahaja yang menawarkan anda pekerjaan secara online atau pos. Dalam kes ini, anda mempunyai hak untuk tahu lebih lanjut mengenai mereka, termasuklah menyemak mereka dengan pihak berwajib seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Anda boleh menyemak kesahihan maklumat melalui laman web SSM di http://www.ssm.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat terpeinci mengenai syarikat.

Dalam hal ini, anda pastinya mempunyai banyak soalan penting untuk mereka jawab, termasuk harga barangan, bentuk perniagaan atau pekerjaan, pembayaran komisen atau elaun dan sebagainya.

Contohnya, anda mungkin berpendapat bahawa syarikat tersebut akan mencarikan pelanggan untuk anda, sedangkan mereka mungkin hanya bersedia untuk menyerahkan kepada anda senarai e-mel/alamat yang mungkin dibeli dari syarikat lain. Anda sendiri terpaksa melakukan kerja keras dan mendapatkan peluang perniagaan sendiri. Dapatkan butir-butirnya. Ingat, syarikat yang kelihatan terlalu berahsia mengenai butir-butir mereka patut disyaki.

Anda juga perlu berhati-hati dengan syarikat yang tidak melampirkan sebarang kaedah untuk menghubungi mereka samada melalui telefon, email ataupun surat. Sebuah syarikat yang sah tentu gembira untuk memberitahu anda siapa, apa, di mana, bila dan bagaimana bentuk perniagaan mereka.

#2 – Kaji sebelum memberikan maklumat peribadi anda

Jelas, bukan? Walaupun begitu, ramai di antara mereka yang baru mula menceburi bidang pekerjaan dari rumah yang mudah terpengaruh dan memberikan maklumat sensitif ini hanya kerana mereka diminta berbuat demikian melalui e-mel. Kaji dahulu – permintaan itu mungkin kedengaran tidak mencurigakan – sebagai sebahagian daripada tawaran, anda mungkin diminta untuk memberikan nama dan butir-butir peribadi seperti No. Kad Pengenalan, alamat rumah , dll supaya kad “pekerja” boleh dikeluarkan untuk anda.

Ataupun, berikan butir-butir kad kredit supaya satu lagi kad “EMAS” akan menjadi milik anda tanpa persoalan. Jangan sekali-kali memberi butir-butir ini kerana sungguh mudah bagi mereka menggunakannya untuk tujuan penipuan. Sekiranya anda membuat keputusan untuk menyertainya, elakkan daripada menghantar maklumat kad kredit anda melalui internet melainkan anda benar-benar pasti tentang pihak yang menerimanya.

Sentiasa pastikan urusan yang dibuat dengan menggunakan kad kredit adalah selamat, terutamanya apabila anda memberikan maklumat peribadi bersamanya. Jangan lupa untuk mencatat dan merekodkan semua maklumat urusniaga dan pihak yang menerimanya.

#3 – Email/surat dari orang yang tidak dikenali

Jangan buka emel yang anda terima daripada orang yang anda tidak kenali. Sekirannya anda memilih untuk membukanya juga, anda juga menghadapi risiko kemungkinan komputer anda akan dijangkiti virus. Sememangnya peluang berniaga di rumah sangat menarik, tetapi anda perlu menolak mana-mana tawaran yang tidak memberitahu anda dengan siapa anda berurusan sebenarnya atau tempat anda menghantar pelaburan anda secara terperinci.

Email ini biasanya akan dipenuhi dengan perkataan HURUF BESAR dan tanda $$$ menandakan wang segera. Anda akan selalu melihat kata-kata seperti, MUDAH DAN SENANG, ANDA BOLEH MEMPEROLEHI BERIBU-RIBU RINGGIT, PEROLEHI $$ TANPA MEMBUAT APA-APA dan sebagainya. Emel/surat ini biasanya lebih menekankan kepada betapa senangnya mendapatkan sejumlah wang yang banyak dengan cepat tanpa bersusah payah.

Adakah syarikat itu sendiri yang menawarkan pekerjaan? Ataupun, mereka “hanya” menawarkan untuk menjual kepada anda bahan-bahan latihan dan bertindak sebagai agen dalam mendapatkan peluang perniagaan kepada anda?

#4 – Untung Yang Besar Tidak Datang Dengan Mudah

Kata-kata ini bagaimanapun seringkali dilupakan. Dengan bekerja atau menjalankan perniagaan dari rumah sama juga seperti menjalankan jenis perniagaan lain di mana untung atau jika bekerja gaji yang diterima adalah sesuatu yang penting. Secara amnya, anda memindahkan pejabat ke rumah anda, itu sahaja! Untuk mendapatkan wang yang banyak, anda hendaklah meneliti perkara-perkara asas, contohnya cari sesuatu yang anda boleh lakukan dengan baik, lakukannya dengan tekun, melabur dengan baik dalam peralatan dan sentiasa memperbaiki kemahiran dan pengetahuan anda.

Jika seseorang menawarkan anda wang ringgit yang banyak bagi “kerja yang sedikit”, awaslah – tentu ada sesuatu yang tak kena. Antara ayat yang sering digunakan ialah “Sekiranya anda ingin mendapatkan beberapa ribu ringgit dengan cepat, sila luangkan sedikit masa untuk membaca dan memahami program yang mudah ini,” kata salah satu daripada emel yang saya terima. Ia diteruskan dengan, “Saya yakin anda akan berpuas hati dengan RM15,000 atau lebih yang akan anda perolehi dalam tempoh 90 hari.”

Walaupun pada permulaan emel/surat tersebut menjanjikan wang segera tanpa perlu berbuat apa-apa, tetapi daripada pembacaan saya seterusnya saya dapati bahawa untuk melayakkan diri saya mendapat habuan tersebut saya perlu melaburkan sejumlah wang saya sendiri. Sudah tentu ada risiko kehilangan wang pelaburan kita tetapi di dalam emel tersebut masih lagi boleh mengatakan yang skim ini “tidak berisiko”.

#5 – Terdapat faktor mendesak

Selalunya pasti ada had penyertaan sebagai faktor mendesak seperti “Peluang ini hanya untuk 10 orang pertama yang menyertainya sahaja”. Pemangsa mendesak anda membuat keputusan samada mahu atau tidak melaburkan wang anda. Mereka tahu bahawa lagi cepat anda membuat keputusan, lagi sedikit anda berfikir dan memeriksa samada skim ini benar atau palsu.

Dan sekiranya mereka hanya beroperasi untuk sementara waktu sahaja, keadaan ini memberi peluang kepada mereka untuk mengaut semua pelaburan dan melarikan diri. Kadang-kadang, ada juga skim yang menghendaki anda menghantar wang/pelaburannya sebelum anda mengetahui apakah sebenarnya skim atau program atau perniagaan atau pekerjaan itu dengan lebih lanjut. Ini adalah sangat bahaya lebih-lebih lagi jika tiada maklumat untuk dihubungi.. sekadar alamat email mahupun PO Box.

..Saya akan sambung pada part 2.

Salam sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com/
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com/
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm
Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

Berhati-hati sebelum membuat pilihan (Part 2)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ok saya sambung daripada part 1. Dimana kita dah tahu mereka yang sering menjadi mangsa penipuan. Jadi sekarang saya akan bincang pula tentang dimanakah biasanya MANGSA dan PEMANGSA bertemu.

Pada fikiran anda, terdapat 2 kaedah terbaik iaitu suratkhabar dan internet. Dan disinilah lubuk untuk DAPAT WANG ATAU HILANG WANG. Namun,anda perlu berhati-hati kerana anda mungkin akan kecewa kerana menghabiskan wang, masa dan tenaga kerana anda telah menjadi mangsa penipuan!

Berikut disenaraikan beberapa jenis penipuan yang sering ditemui samada melalui iklan di suratkhabar tempatan mahupun internet;

#1)Mengisi sampul surat:
Merupakan satu kaedah yang paling klasik sekali dimana ia bermula semasa Kegawatan Ekonomi Amerika Syarikat sekitar tahun 1920-an dan 1930-an. Anda dijanjikan akan dibayar antara RM1-2 untuk setiap envelop yang anda isikan. Anda hanya perlu membayar sedikit yuran dan anda DIJAMIN akan menerima sehingga 1,000 sampul surat seminggu… yang telah siap diisi dan lengkap ditampal dengan setem! Apa yang tidak dinyatakan ialah anda perlu mendapatkan alamat bakal pelanggan.

Setelah pembayaran dibuat, anda akan menerima satu manual ringkas dan contoh flyer yang perlu anda edar atau iklankan dalam usaha anda mendapatkan alamat pelanggan. Setelah mendapat langganan dan bayaran, anda hanya perlu fotokopi manual ringkas tersebut dan berikan kepada pelanggan anda. Kaedah yang sungguh bijak tetapi tidak beretika!

#2) Surat/Email Berantai (Perolehi Wang Segera):
Jika anda sering mencari peluang pendapatan dari rumah melalui internet/suratkhabar, anda pastinya pernah menerima dan melihat surat/email berantai ini. Mereka menjanjikan bahawa anda hanya perlu menghantar surat/email bersama sejumlah wang kepada nama mereka yang tersenarai, kemudian mengeluarkan nama diaras bawah sekali dan digantikan dengan nama anda.. dengan harapan suatu hari anda akan menjadi jutawan.

Ia juga ada dikatakan didalam versi kutu atau konsep saling membantu melalui kaedah sedekah dimana anda bersetuju untuk memberikan wang tersebut tanpa sebarang paksaan. Pada saya ia adalah satu bentuk skim piramid. Biasanya ia senarai ini akan dimanipulasikan dimana hanya satu nama sahaja yang sentiasa berada diatas(pengasas program) dan akan menerima wang sangat banyak. Program seperti ini sepatutnya digelar Program “Hilang Wang Segera”….

#3) Sila dail nombor 600 untuk maklumat lanjut :
Anda tidak perlu menghabiskan banyak masa (dan wang) dengan mendail nombor-nombor sebegini. Anda pastinya tahu bahawa kos panggilan ke nombor 600 sangat mahal iaitu RM1.95 seminit (7.00 pagi-7.00 mlm) dan RM0.98 (7.00 mlm-7.00 pagi). Bayangkan jika anda menghabiskan 5 minit diwaktu siang, anda telah membazirkan hampir RM10.00 dan disitulah mereka memperolehi keuntungan. Simpan wang anda dan jangan mendail mana-mana nombor 600 hanya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai apa yang dikatakan peluang bekerja dari rumah..

#4) Senarai Nama Syarikat :
Jangan terpedaya dengan membeli senarai syarikat yang memerlukan khidmat pekerja di dari rumah..melalui kaedah ini , anda membayar untuk mendapatkan senarai syarikat yang mencari pekerja dari rumah sama seperti anda samaada dalam bentuk digital atau bercetak.

Antara syarikat yang biasa tersenarai ialah syarikat yang menawarkan pekerjaan pemasangan barangan, pengurusan katalog, syarikat MLM, dll. Apa yang menjadi masalahnya ialah, Senarai ini tidak semestinya betul benar kerana syarikat tersebut mungkin tidak mencari pekerja dari rumah ataupun tidak pernah bersetuju untuk disenaraikan, atau tidak dapat dipastikan adakah perniagaan tersebut dijalankan secara sah atau masih terbuka peluang untuk anda memohon. Biasanya adalah sukar untuk anda mendapatkan kembali wang anda.

#5)Memasang barangan:
Biasanya peluang serupa ini akan memberitahu bahawa ada akan memasang barangan seperti anak patung, komponen elektronik, permainan kanak-kanak, produk kegunaan hotel dan pelbagai lagi projek kraftangan yang boleh dilakukan dirumah dan dijanjikan upah yang lumayan. Apa yang perlu anda lakukan ialah dengan membayar deposit/ yuran pendahuluan (yang dijanjikan akan dikembalikan semula) dan anda akan menerima segala peralatan, barangan dan arahan yang perlu dilaksanakan. Sangat menarik bukan?

Anda akan bernasib baik jika menerima produk yang dijanjikan selepas membuat pembayaran kerana saya pernah kehilangan RM70 begitu sahaja tanpa menerima apa-apa!. Apa yang berlaku ialah, apabila anda telah menerima produk dan menyiapkan mengikut arahan, anda akan dimaklumkan bahawa “ produk anda tidak menepati spesifikasi” walaupun jika anda adalah robot, adalah mustahil untuk anda menepati kehendak mereka. Syarikat ini sebenarnya membuat keuntungan melalui penjualan starter kit.. bukannya produk yang dipasang.

Selain suratkhabar, internet adalah salah satu sumber terbaik untuk mencari peluang menambahkan pendapatan. Oleh itu, anda pun mendapatkan akaun emel dan meluangkan masa melayari pelbagai laman web untuk mencari peluang kerja yang sesuai.

Nampaknya peluangnya banyak hinggakan walaupun anda tidak mencarinya, anda mungkin dapati peti e-mel anda dihujani dengan e-mel yang menjemput anda mengambil bahagian dalam skim kewangan, peluang perniagaan dan sebagainya yang kesemuanya menjanjikan kejayaan. Begitulah menurut pengirimnya. Apa yang harus anda buat? Bagaimana anda hendak mengenalpasti peluang sebenar di antara selonggok iklan yang kesemuanya kelihatan menarik?

#6)Menaip dari rumah (data entry clerk, typist, email processing clerk,etc) :
Jika anda sering menggunakan komputer, pastinya tidak mustahil anda menjadi seorang jurutaip yang bagus. Jadi pastinya menarik apabila anda boleh menggunakan kemahiran anda itu sebagai salah satu kaedah menjana pendapatan hanya dengan menaip dari rumah. Peluang seperti ini juga sering diiklankan untuk memerangkap anda dengan pelbagai nama jawatan. Bagaimana ia dijalankan?

Biasanya selepas menjelaskan sejumlah wang kepada “penipu” ini hanya untuk mendapatkan “maklumat lanjut” anda biasanya akan menerima bahan-bahan melalui disket, muat turun atau maklumat bercetak yang akan memberikan anda pelbagai maklumat berkaitan dimana dan bagaimana anda boleh mengiklankan tentang peluang “menaip dari rumah” serta risalah jualan (dalam flyer, surat, email, laman web,dlll) akan diberikan kepada sesiapa yang berminat.

Apabila mereka membuat pesanan untuk mendapatkan “maklumat lanjut” (sama seperti yang anda telah lakukan sebelum ini), anda hanya perlu mencetak/menyalin semua bahan yang anda telah terima kepada pelanggan anda. Sebenarnya ia akan cuba menjadikan anda seorang PENIPU!! Kerana hakikatnya tiada sebarang produk yang dijual, hanya maklumat tentang kaedah dan bahan mengiklankannya.

#7)Perolehi Wang Dengan Melayari Internet:
Anda dikehendaki untuk daftar masuk ke laman internet tersebut sebanyak x kali atau memuat turun sesuatu perisian pelayar internet ke computer anda, dan membaca iklan atau melihat papan iklan yang tertera. Syarikat laman tersebut akan mengenakan bayaran kepada syarikat-syarikat yang membuat iklan dan ganjaran akan diberikan kepada ahli yang memenuhi kuota.

Apa yang anda tidak ketahui ialah, anda akan mengambil masa yang lama untuk mencapai kuota yang telah ditetapkan sebelum anda layak menerima skim bayarannya, itupun sekiranya anda berjaya mencapainya. Tiba masa anda menerima bayaran, jumlah tersebut akan ditolak pula dengan kos pengurusan (boleh mencecah 20 peratus). Situasi yang lebih teruk yang boleh berlaku ialah penutupan laman web tersebut sebelum mana-mana peserta sempat menerima bayarannya.

Skim seperti ini semakin bercambah dan dalam pelbagai variasi seperti PAID EMAIL, PAID TO SURF, PADI TO DOWNLOAD dan sebagainya . Walau bagaimanapun, sekiranya anda ingin mencuba skim-skim seperti ini, anda perlu memerhatikan perkara-perkara ini terlebih dahulu:

  • Berapa bayaran yang akan anda terima untuk aktivit yang perlu anda lakukan (membaca setiap e-mel, lawat website dsb)?
  • Apa yang perlu anda buat selain daripada membaca e-mel?, (contoh: sesetengah skim mengkehendaki anda memasuki laman web yang disertakan di dalam e-mel)
    Boleh atau tidak rakyat Malaysia menyertainya? Sesetengah skim hanya untuk warganegara US sahaja.
  • Berapakah jumlah paling minimum yang dibayar?Buat pengiraan berapa lamakah masa yang diperlukan untuk mendapatkan bayaran minimum tersebut? Ingat bahawa anda perlu membayar akses internet dan bil telefon untuk membaca e-mel tersebut.
  • Bagaimanakah pembayaran akan dibuat?. Sekiranya pembayaran dibuat dengan menggunakan cek (US), sebahagian kecil akan diambil oleh pihak bank sebagai caj perkhidmatan. Jika pembayaran dimasukkan keakaun online seperti Paypal, Clickbank, Stormpay,e-gold dan lain-lain, sila pastikan samada ia mengiktiraf urusniaga dengan warganegara Malaysia.

#8) Melobi Wang :
Skim ini telah wujud semenjak beberapa tahun yang lalu. Daripada permulaannya dulu menggunakan surat dan fax, kini ia semakin canggih, dengan menggunakan e-mel sebagai medium utama. Skim tersebut memberitahu anda yang pengirimnya (kebiasaannya daripada negara di Benua Afrika) mempunyai sejumlah wang yang banyak, memerlukan pertolongan anda untuk memindahkan wang ini ke dalam akaun bank anda, dan sekiranya berjaya, anda akan mendapat x peratus daripada jumlah tersebut.

Ramai ahli peniagaan yang bijak, dan para remaja telah terpedaya oleh skim seperti ini kerana sifat tamak. Khabar angin ada mengatakan, selepas melakukan perpindahan wang, sebahagian daripada peserta ada yang telah dibunuh selepas bertolak untuk menemui pengirimnya. Sebahagian lagi telah kehilangan sejumlah wang yang besar daripada akaun bank mereka, ataupun kehilangan barangan peribadi yang digunakan dalam jenayah yang lain. Berita penipuan seperti ini pernah disiarkan di suratkhabar METRO pada tahun lalu.

#9) Internet MLM :
Jika anda pernah terdengar syarikat MLM seperti Amway, Revell, CNI dan Cosway anda pasti tahu bahawa ia merupakan perniagaan MLM yang sah dimana para agen perlu menjual sesuatu produk atau perkhidmatan. Salah satu masalah yang sering menimpa sistem MLM ialah kewujudan Sistem Piramid iaitu proses kenaikan pangkat melalui penajaan ahli menjadi lebih penting daripada proses menjual produk atau perkhidmatan.

Syarikat-syarikat ini menjanjikan pulangan yang hebat melalui skim piramid dan dan ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa kepada Skim Cepat Kaya walaupun telah banyak amaran yang diberikan oleh kerajaan. Sebaiknya Periksa latar belakang syarikat tersebut sebelum anda membuat keputusan untuk menyertainya sebagai ahli.

Jika syarikat tersebut tidak berdaftar di Malaysia, anda tidak boleh membuat aduan kepada mana-mana pihak berkuasa tempatan. Anda juga tidak boleh membuat aduan kepada orang yang memperkenalkan skim tersebut kepada anda kerana dia juga hanya merupakan seorang ahli sahaja.

#10) Sistem Affiliate:
Sistem affiliate ialah dimana seseorang individu akan dibayar sejumlah komisen apabila berjaya membuat jualan produk/perkhidmatan yang ditawarkan oleh penganjur sistem. Biasanya penganjur boleh jadi orang perseorangan mahupun syarikat namun ia bukanlah syarikat yang mempunyai lesen AJL. Maka ia tidak dikategorikan sebagai jualan langsung.

Sejak akhir-akhir ini semakin ramai rakyat Malaysia yang mula membuat sistem affiliate sendiri. Namun, saya kira kebanyakkannya lebih menjurus kepada bentuk sistem piramid yang lebih mengutamakan kemasukan ahli baru berbanding kualiti produk.

Oklah, rasanya dah banyak yang saya tuliskan mengenai peluang yang ada dan penipuan yang sering terjadi. Harapan saya agar kita akan lebih berhati-hati dalam memilih dan janganlah hanya kerana ia menjanjikan PENDAPATAN LUMAYAN.. kita terjebak walaupun sedar bahawa ia adalah salah.

Maaf kiranya post kali ini agak panjang. Dan maaf juga jika ada yang tersinggung. Jika anda pernah terlibat dengan mana-mana program seumpama ini, boleh juga tuliskan komen anda agar dapat dikongsi oleh pembaca lain untuk dijadikan panduan. Wassalam.

Salam Sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm

Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

« Previous PageNext Page »