Berani mengiklankan diri

Soalan

Saya antara peserta tajaan Mara yang mengikut program motivasi keusahawanan Dr. di Genting Highland pada tahun lalu. Saya rasa tidak puas sebab kami tidak berpeluang bertanyakan soalan. Memang benar berkali-kali Dr. minta soalan, tapi hambatan masa yang Dr. ada menyebabkan saya senyap saja. Sebenarnya saya ada perkara nak ditanyakan. Saya harap melalui majalah ini masalah saya dapat dihuraikan.

Saya tidak ada asas dalam perniagaan, tetapi keinginan untuk mengubah nasib menyebabkan saya memberanikan diri mengeluarkan sedikit modal dan memulakan perniagaan mencetak logo dan nama di baju-baju korporat. Memang ada permintaan tetapi tidak selumayan mana.

Mestikah saya berhenti dan mengusahakan bidang lain ataupun saya meneruskan juga. Kalau lihat pada rentak sekarang rasanya tidak mungkin saya akan kaya? Inilah yang selalu membingungkan saya.

Jawapan

Anda tentu ingat faktor pertama yang saya sebut dalam 11 langkah untuk usahawan terbilang dalam kursus berkenaan, iaitu �Niat mesti betul�. Apakah anda ingat?

Niat yang betul boleh menjadi booster kita untuk terus melangkah, sebab di samping kita mahukan kekayaan kita juga mahu kegiatan kita itu menjadi ibadah buat kita. Apabila ia bermatlamatkan ibadah selain keuntungan, kita tidak akan rugi sebab kalau pun pendapatan agak kecil, usaha yang betul serta niat yang betul memberikan kita peluang memunggut hasilnya di akhirat. Bukankah itu lebih bermakna daripada kaya raya di sini tetapi muflis “di sana”??

Bukan susah sangat untuk menjadi kaya raya “di sana”?, betulkan niat, betulkan cara berniaga, usah tinggal tuntutan-tuntutan wajib seperti sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya, ia dikira ibadah.

Perniagaan mencetak logo adalah salah satu cabang niaga baru. Hampir semua yang baru biasanya akan mendapat permintaan yang sangat tinggi. Tiada sebab perniagaan anda tidak membuahkan keuntungan lumayan sebab syarikat-syarikat kecil pun berusaha membuat baju korporat untuk kelihatan besar. Bermakna kemungkinan untuk maju sentiasa ada.

Berikut adalah cadangan untuk memperluaskan lagi perniagaan anda:

Berani mengiklankan diri
Ramai usahawan kita takut untuk mempromosi diri. Alasannya, takut dikatakan menunjuk-nunjuk. Itu silap. Iklan adalah senjata utama perniagaan. Tanpa papan iklan, sesebuah premis perniagaan boleh dianggap tidak sah dan boleh dikenakan denda. Itu bermakna iklan adalah �wajib�. Jadi, mengapa takut untuk mengiklankan perniagaan dan mempromosi diri?

Apabila berjumpa seseorang, usah segan menghulurkan kad nama atau brosur perniagaan. Siapa tahu dari situ akan datang kontrak yang lumayan. Tabur sebanyak-banyak yang boleh. Semasa hari raya cipta kad raya yang menampilkan perniagaan anda dan hantarlah ke mana-mana saja yang dirasakan munasabah. Hantar ke bank, badan-badan berkanun, perbadanan, pejabat kerajaan, sekolah, IPT dan sebagainya.

Fikirkan juga untuk mengiklan di akhbar-akhbar utama. Memang terpaksa mengeluarkan modal yang banyak, tetapi berbaloi. Jika mengiklan di akhbar utama sebulan lamanya, anda akan dapati kewujudan anda dan perniagaan anda kekal dalam ingatan pembaca sampai bila-bila.

Hingga hari ini saya masih ingat iklan tukang urut Tuan Haji Abdul Haji di ruang iklaneka, di mana dia sedang memegang telefon tangan, ketika itu telefon tangan masih barangan baru dan pelik. Sesiapa yang ada telefon tangan dikira elit. Dan lihatlah kesannya, hingga hari ini apabila kita terfikirkan tukang urut profesional serta merta minda kita memberikan gambaran Tuan Haji Abdul Haji. Bukankah iklan sangat-sangat memberi kesan jangka panjang?

Tingkatkan mutu
Syarikat saya ada pengalaman dalam menyediakan baju koporat untuk kakitangan. Pada percubaan pertama kami mendapatkan khidmat sebuah syarikat di Kuala Lumpur . Harganya munasabah dan kualiti kerjanya menarik.

Pada cubaan kedua, kami mendapatkan khidmat �orang kita� di Batu Pahat. Semuanya beres, itu janji mereka. Tetapi sehingga kini (setakat artikel ini saya tulis), yang dikatakan beres tidak pernah terjadi. Malah salesman yang sepatutnya datang mengambil baju-baju korporat yang saya tinggalkan di Muar tidak nampak-nampak lagi.

Kemudian kami cuba mendapatkan khidmat sebuah kedai perniagaan di Muar. Sungguh mendukacitakan, hasilnya sangat mengecewakan. Walaupun telah diberikan sample, mereka tidak mampu mengikut, akhirnya logo syarikat kami jadi lain dari yang asal.

Pada keadaan-keadaan seperti ini apakah anda fikir urusniaga seterusnya dapat dilakukan? Hanya orang “bodoh” saja akan terus datang ke restoran yang sentiasa memasak nasi mentah.

Khidmat pelanggan adalah penting
Syarikat kecil dan baru perlu bersaing dengan yang besar. Yang besar selalunya telah established, mereka tiada masalah dalam hendak mendapatkan pelanggan. Untuk hidup syarikat kecil perlu mengatasi yang besar dengan khidmat pelanggan berbentuk “personal touch”.

Anda mungkin tidak percaya kadang-kadang syarikat besar gagal berperanan selari dengan besarnya dia. Sebuah bank yang mengeluarkan cek pada syarikat saya mengambil masa hampir dua bulan untuk menyediakan buku cek baru setelah kami mohon secara online di internet, memaksa kami memohon hingga dua kali kerana menyangka urus-niaga yang pertama gagal. Sehinggalah kami terpaksa menghubungi pihak bank dan diberitahu buku cek telah lama siap tetapi terlepas pandang untuk dihantar.

Selepas itu pihak bank berjanji akan menghantar menggunakan khidmat penghantaran cepat, tetapi sehingga seminggu kemudian buku cek berkenaan masih belum diterima. Tahukah anda, jarak syarikat saya dengan bank berkenaan hanya 5 km.

Siapa kata syarikat besar sentiasa mengatasi syarikat kecil dalam khidmat pelanggannya. Di sinilah anda boleh menang. Bayangkan kalau anda sendiri boleh datang mengambil order dan menghantarnya pula kepada pelanggan tepat pada waktunya atau lebih awal daripada itu, tentu anda akan sentiasa berada di hati mereka.

Berpandukan tiga tips ini, teruslah melangkah. Namun, jika rasanya tidak sanggup adalah lebih baik berhenti. Berniaga adalah untuk orang yang tabah hati serta kental jiwa lagi rajin berusaha. Kalau malas dan tak mahu berubah, lebih baik buat kerja lain.

Berniaga itu menambah rezeki dan sumber kekayaan, tetapi jangan tidak tahu, ramai juga oleh menempah neraka melalui bidang perniagaan yang dilaluinya.

Semoga anda menjadi usahawanita yang cemerlang dan terbilang serta boleh dibanggakan, bukan yang malang lagi memalangkan hingga orang lain turut “terlentang” dan gagal.

Sumber: http://etuah.com

No related posts.

2 Comments

  1. william Saturday, 15 August, 2009
  2. redquattro Wednesday, 1 February, 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge