Buat duit dengan menulis buku

DI Malaysia, sebagai penulis buku anda sudah pasti tidak akan mungkin dapat mengalahkan kekayaan Robert Kuok, Ananda Krishnan, atau Lim Goh Tong, atau mengalahkan J.K Rowling, Dan Brown, Bill Bryson, dan ratusan lagi penulis Barat.

Buku siri Harry Potter karya J.K Rowling telah dijual melebihi 300 juta naskhah. The Da Vinci Code karya Dan Brown telah dijual melebihi 1.7 juta naskhah. Begitu banyak penulis Barat menjadi kaya-raya kerana buku mereka laris. Bayangkan pendapatan R.L Stine yang menulis 80 buah buku, dengan jualan melebihi 220 juta naskhah, atau Enid Blyton yang meninggal dunia pada 1968, dengan sejumlah 700 tajuk buku kanak-kanak, dengan jualan melebihi 100 juta naskhah.

Enid Blyton merupakan pengarang dalam bahasa Inggeris yang paling laris bukunya sebelum munculnya J.K Rowling. Bayangkan jumlah wang yang mengalir ke dalam bank Agatha Christie, penulis novel jenayah, apabila lebih daripada satu bilion naskhah novel beliau laris dalam bahasa Inggeris, dan satu bilion lagi dalam 45 bahasa lain dunia.

Jauh sebelum itu, pada 1901 lagi seorang penulis Britain, Beatrix Potter telah menjadi jutawan apabila buku The Tale of Peter Rabbit meledak dengan jualan sembilan juta naskhah. Bukan sedikit penulis Barat yang telah menjadi jutawan dan kaya-raya dengan menulis buku.

Di Malaysia, bagaimana? Adakah menulis buku dapat mendatangkan wang? Atau membolehkan penulis menjadi kaya-raya?

Di Malaysia dianggarkan sekurang-kurangnya terdapat 10 orang penulis mendapat RM200 ribu setahun, sekurang- kurangnya 20 orang memperoleh sekitar RM100 ribu setahun, 25 orang memperoleh RM50 ribu setahun dan ratusan orang memperoleh sekurang-kurangnya RM15 ribu setahun dan ini termasuk penulis novel popular, buku motivasi, buku teks dan buku rujukan.

Satu daripada sistem yang diamalkan ialah sistem pembayaran royalti, iaitu sistem yang menentukan kadar yang perlu dibayar kepada penerbit berdasarkan jumlah naskhah yang laris.

Terjual

Lazimnya, di Malaysia, kadar royalti adalah antara 7-20 peratus daripada harga buku yang terjual.

Bayangkan jumlah royalti yang akan anda terima jika buku anda meledak di pasaran? Berapakah jumlah yang bakal anda terima jika buku anda laris lima ribu naskhah, 10 ribu naskhah, 20 ribu naskhah, 50 ribu naskhah atau 100 ribu naskhah?

Bayangkan anda menerima royalti 10 peratus dan harga buku ialah RM30? Anda kira sendiri, berapa wang yang mengalir ke dalam poket anda. Tentu anda akan tersenyum lebar ke bank.

Kini, bukan menjadi rahsia lagi, agak banyak novel popular Melayu yang meledak di pasaran, sehingga melantunkan penulisnya ke papan atas.

Rata-rata buku tersebut dijual melebihi RM25, dan penulis meraih 10 peratus royalti. Tidak hairanlah, semakin banyak penulis baru muncul dengan novel popular bertemakan cinta cuba bersaing di pasaran.

Azizi Ali, penulis buku pengurusan kewangan yang banyak menulis buku tentang bagaimana menjadi kaya dan merancang wang dan kekayaan merupakan antara yang kaya kerana menulis.

Beliau telah membuat banyak wang dengan menulis buku dan tahu bagaimana menggunakan wang daripada bukunya untuk menggandakan wangnya.

Pendapatan daripada menulis buku lebih besar daripada pendapatan yang diraihnya daripada kerja sebagai juruterbang.

Siapa kata, kita tidak dapat membuat wang dengan menulis?

Kata Azizi dalam sebuah bukunya, ‘‘Walaupun duit yang saya dapat sebagai juruterbang hebat, tetapi duit yang saya dapat daripada penulisan amat menakjubkan. Kewangan saya melonjak tinggi hasil daripada pendapatan penulisan.

‘‘Bukan saya nak cakap besar, tetapi saya boleh bersara daripada menjadi juruterbang hari ini jika saya mahu. Saya boleh bersara daripada menjadi bekerja.’’

Malah, buku beliau yang seterusnya, Lahirnya Seorang Jutawan mengukir prestasi yang lebih baik.

Anda tahu? Pada hari ini, Azizi Ali merupakan salah seorang daripada beberapa penulis di Malaysia yang telah menghasilkan enam buah buku yang laris jualannya.

Anda pergi sahaja ke kedai buku ternama: MPH, Borders, Kinokunya, anda pasti akan melihat buku Azizi dideretkan di rak buku, termasuk buku terbaru beliau, Retire Rich.

Beliau berkata: ‘Seperti air yang mengalir turun, duit akan mengalir kepada orang yang tahu apa yang mereka lakukan.”

Tetapi tunggu dulu. Jangan anda tersilap faham. Jangan pula fikir ketika menulis anda hanya perlu memikirkan tentang wang.

Anda perlu mempunyai cinta dan komitmen yang mendalam terhadap usaha yang hendak anda lakukan.

Jika penulis seperti Azizi membaca sebanyak 700 buah buku tentang bidang yang hendak ditulisnya, sanggupkah anda melakukan perkara yang sama?

Atau lebih baik lagi, melakukan lebih baik daripada itu – mungkin 1,000 buah buku? Sanggupkah anda berkorban dari segi masa, wang, tenaga, dan keselesaan dahulu hanya untuk memenuhi impian itu? Masalahnya, sebahagian kita akan memikirkan tentang masalah dan alasan untuk tidak menulis atau menghalalkan tindakan tidak menulis.

Kita bangga kerana menjadi orang yang malas dan membuang masa! Kita lebih sibuk memikirkan alasan, daripada sibuk memikirkan strategi dan langkah konkrit ke arah itu.

Thomas J. Stanley di dalam buku The Millionaire Mind mendedahkan bahawa ramai daripada jutawan memberitahu beliau bahawa rahsia kejayaan mereka adalah kerana perasaan cinta kepada kerjaya mereka.

Kata beliau berulang kali, “Jika anda menyukai sepenuh hati apa-apa yang anda lakukan, peluang amat cerah untuk anda berjaya.”

Jadi, mengapa tidak cuba menulis buku? Siapa tahu, selain menyebarkan ilmu pengetahuan, anda dapat membuat duit dengan menulis.

Dipetik daripada: Jeniri Amir, Utusan Malaysia 11 Disember 2006.

Related posts:

  1. Ulasan Ebook=> Raja Adsense: Rahsia Panduan Membuat Duit Tanpa Modal Dengan Google Adsense dalam Bahasa Melayu
  2. Maklumat Terkini Tentang Buku Chapter M
  3. BUAT DUIT PERCUMA DENGAN HANYA MEMBACA EMAIL

5 Comments

  1. muhsinmustafa Saturday, 29 September, 2007
  2. kyuzo Saturday, 24 November, 2007
  3. ayu Thursday, 29 November, 2007
  4. faruqi jeniri Tuesday, 8 April, 2008
  5. abuadib Tuesday, 21 December, 2010

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge