Cara Perbaiki ‘Nasib’ Untuk Capai Kekayaan & Kejayaan

Tidak lama dulu saya ditemuramah untuk Malaysia Hari Ini, TV3 bersama Abang Nizal & Kak Abby mengenai kejayaan saya sebagai pakar perniagaaan Internet (lihat gambar sebelah). Satu soalan yang agak menarik dari Kak Abby adalah “Apa fikiran Irfan mengenai orang kata semua kejayaan Irfan ini hanyalah nasib Irfan yang baik?”

Sebenarnya sudah sering saya mendengar komen seperti itu. Kejayaan sering di kaitkan dengan nasib badan… ataupun “luck”. Lebih-lebih lagi nasib yang baik sering dikaitkan apabila terdapatnya kejayaan yang diluar jangkaan.

Adakah nasib memainkan peranan yang penting dalam kejayaan?

Kejayaan seseorang itu bukanlah disebabkan nasib yang baik. Robert T Kiyosaki, pakar motivasi bidang kewangan berkata “LUCK” terjadi apabila: “The harder I work, the luckier I’ll be”

Mungkin ada ketikanya nasib bermain peranan dalam kejayaan seseorang- terutama jikalau mendapat durian runtuh seperti menang loteri? Itu boleh dikatakan nasib. Malah, ianya nasib yang terlalu baik oleh kerana nisbah kebarangkalian memenangi hadiah utama dalam loteri adalah terlalu tinggi. Dalam erti kata yang lain, anda lebih mudah menghadapi disambar petir dari pada memenangi loteri.

Kisah mendapat durian runtuh atau “nasib” sehinggakan berjaya dan menjadi kaya memang tidak dinafikan ada terjadi. Kisah sebegini sering di hebah-hebahkan. Namun begitu, kisah tersebut amat jarang sekali terjadi (sebab itu ianya dihebah-hebahkan dan sering menjadi bahan cerita dikalangan rakan-rakan!). Pada hakikatnya, sebilangan yang amat besar mereka yang berjaya dan menjadi kaya tidak melibatkan nasib “durian runtuh”.

Bayangkan sebuah kereta mewah import. Mercedes, BMW atau Volvo. Pemanduan kereta-kereta mewah ini amat lancar. Dalaman kereta mewah ini amat cantik. Tempat duduk di dalam kereta mewah ini amat selesa rasanya. Pecutan kereta mewah ini juga amat sedap di pandu. Dalam kata lain, memang secara keseluruhan, kereta mewah amat… mewah bila di bawa!

Sekarang, tanya kepada diri anda sendiri. Adakah nasib atau “luck” yang menyebabkan kereta mewah tersebut sebegitu rasanya? Adakah pemanduan yang lancar disebabkan nasib? Adakah dalaman yang cantik disebabkan nasib? Atau adakah interior yang selesa disebabkan nasib?

Tentunya bukan. Ianya bukan nasib kereta mewah sebegitu rupa. Ia adalah hasil dari bertahun-tahun kajian dan penyelidikan tentang enjin. Bertahun-tahun kajian dan penyelidikan tentang reka bentuk. Bertahun-tahun hasil kajian tentang workmanship yang halus dan seni membina yang terperinci. Sebuah kereta mewah adalah mewah oleh kerana usaha yang ditaburkan secara keseluruhan untuk menghasilkan kereta tersebut.

Begitu juga dengan manusia. Seseorang yang berjaya dengan cemerlang adalah dari hasil usaha bertahun-tahun mendalami ilmu bidang tertentu. Seseorang yang berjaya dalam bidang kerjaya undang-undang telah bertahun-tahun melaburkan masa untuk mendalami ilmu undang-undang. Bertahun-tahun juga pengalaman di lalui untuk memahami bidang tersebut. Sama juga bagi seorang doktor yang berjaya, memakan masa tidak kurang 5 tahun untuk mendalami ilmu kedoktoran. Pengalaman bertahun-tahun mengendalikan pesakit juga membantu dalam mencapai kecemerlangan. Hinggakan seorang penghibur yang berjaya juga, perlu mendalami ilmu dan seni mereka bertahun-tahun lamanya. Mereka perlu berlatih berjam-jam setiap hari dan mendalami ilmu mereka untuk mencapai kegemilangan.

Cipta Nasib Sendiri

Kejayaan tidak seharusnya bersandar kepada nasib. Fikiran kita tidak seharusnya kaitkan “kejayaan” dengan “nasib” oleh kerana ianya akan mengurangkan motivasi untuk diri kita sendiri.

Sekiranya kita menanggap kejayaan adalah nasib, maka, usaha kita untuk berjaya sudah hampir terbengkalai. Oleh kerana, kita akan sentiasa menunggu “nasib” untuk menyebelahi kita. Kita akan sering menunggu lucky break untuk terjadi kepada kita. Dan kita akan sering menunggu pintu peluang dibukakkan untuk kita. Konsep pemikiran menunggu nasib bukanlah cara yang baik untuk mencapai kejayaan oleh kerana “nasib” tidak datang kepada seseorang tanpa usaha yang setimpal.

Hukum alam mengatakan bahawa, segala usaha yang anda curahkan, anda akan dapat pulangannya yang setimpal. Sekira usaha anda adalah berlipat kali ganda rakan-rakan anda, makan, anda akan mendapat pulangan yang berlibat kali ganda berbanding dengan rakan-rakan anda. Ianya tidak terjadi situasi dimana anda memberikan usaha yang sedikit, tetapi, mengharapkan pulangan berlipat kali ganda. Namun situasi ini sering terjadi di kalangan masyarakat kita. Ini selalu mengakibatkan orang ramai terjerat dalam skim-skim menipu wang seperti skim piramid, sistem ponzi, scam di Internet, skim cepat kaya dan sebagainya. Skim-skim ini bertujuan menjerat mereka yang berfikiran “buat kerja sikit, dapat pulangan lumayan!”

Apa yang anda perlu buat adalah untuk anda “ciptakan” nasib anda sendiri – buka sendiri pintu peluang oleh kerana anda sendiri yang akan menentukan nasib anda. Sekiranya anda inginkan kejayaan dan kekayaan, maka anda perlu membentuk diri anda seperti sebuah kereta mewah. Dalami ilmu dalam bidang anda. Curahkan bertahun-tahun berusaha mendapatkan pengalaman. Dan usaha sekeras yang mungkin untuk mencapai kejayaan yang gemilang. Jangan sesekali putus asa oleh kerana kejayaan sering terjadi disebalik kegagalan.

Kemudian, apabila anda berjaya di menara gading, ketika itu, anda akan dapati segelintir mereka di keliling anda akan sebut “Ahh… nasib je dia berjaya… nasib badan!” icon smile |  Cara Perbaiki ‘Nasib’ Untuk Capai Kekayaan & Kejayaan

————————————————————————————–
Sumber: Irfan Khairi adalah penulis buku “Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar” dan speaker dalam bidang membina kekayaan & kejayaan. Untuk Maklumat lanjut, sila lawati www.rahsiainternet.com dan www.irfankhairi.com

Related posts:

  1. Kisah kejayaan Pengasas Sendayu Tinggi

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge