Kerja Dari Rumah. Satu ‘Terapi’ Bagi Stres Di Tempat Kerja?

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Adakah bekerja dari rumah mendatangkan kebaikan atau keburukan terutama bagi pekerja sektor awam?

Ini antara soalan yang muncul berikutan laporan berita baru-baru ini mengenai inisiatif Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mewujudkan Program Bekerja Dari Rumah bagi pelukis pelan yang terpilih bermula 1 Jan tahun depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor dilaporkan berkata 35 pelukis pelan akan dipilih sebagai perintis bagi program percubaan tiga bulan dan keputusan sama ada kerajaan meneruskan atau tidak program itu bergantung pada tahap produktiviti yang dicapai semasa program itu dijalankan.

Menurut Shaziman, program berkenaan akan ditamatkan jika didapati gagal meningkatkan produktiviti pelukis pelan yang terlibat.

Reaksi positif menyusul di mana Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik langkah itu.

Bagi Cuepacs, langkah kerajaan mewujudkan program perintis itu boleh mengurangkan kesesakan di tempat kerja selain meringankan beban penjawat awam dari segi kos petrol serta masa yang diambil untuk pergi dan pulang dari tempat kerja.

Ia juga memberi peluang kepada penjawat awam mempunyai masa yang lebih dengan keluarga mereka.

Presiden Cuepacs Omar Osman dilaporkan berkata program itu merupakan langkah yang bijak dan menyeru agar ia dipanjangkan meliputi kementerian dan agensi kerajaan yang lain.

SATU JENIS TERAPI

Sebenarnya konsep bekerja dari rumah sudah lama wujud dalam perkidmatan awam di negara ini, tetapi tanpa publisiti yang meluas, dan ia juga memberi kesan produktiviti yang amat positif.

Ini satu situasi yang dialami sendiri penulis yang bertugas di sebuah agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. Penulis yang juga merupakan seorang OKU (Orang Kurang Upaya) telah menikmati kemudahan itu sejak tahun 2007.

Penulis diserang diabetis dan mengalami masalah vaskular (peredaran darah) kaki kanan kerana komplikasi penyakit itu. Beliau juga terpaksa menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu kerana kegagalan buah pinggang dan menjadi amat keletihan setelah menjalani setiap sesi rawatan itu.

Pada tahun 2007, kaki kanan penulis dipotong di bawah paras lutut kerana ulser yang kronik dan ini memberi kesukaran bagi beliau untuk berjalan.

Tetapi beliau tetap juga ke pejabat walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda.

Ini telah menarik perhatian pihak pengurusan yang memahami keadaan penulis. Pihak pengurusan menggunakan budi bicara mereka dan membenarkan beliau bekerja dari rumah dengan menggunakan Internet kerana semua kerja beliau boleh disalurkan melalui komputer dan Internet.

Mereka (majikan) juga meminjamkan sebuah komputer riba yang disambungkan terus kepada sistem komputer di pejabat.

Langkah itu sebenarnya telah meningkatkan produktiviti kerja penulis, walaupun banyak masa yang beliau perlukan untuk rawatan dialisis, beliau sebenarnya mempunyai ruang dari segi masa yang lebih lama bila bekerja dari rumah jika dibandingkan dengan waktu bertugas di pejabat dengan hanya lapan jam.

Ia juga lebih menjimatkan masa jika diambil kira perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja.

BAIK UNTUK PETUGAS OKU

“Bekerja dari rumah amat bermakna bagi penjawat awam yang kurang upaya. jika penat, mereka boleh rehat. Mereka boleh menyelesaikan kerja walaupun pada waktu malam atau pagi,” itulah pendapat aktivis sosial Fatimah Mansur.

Kata beliau, bekerja dari rumah juga merupakan sebahagian daripada terapi bagi mengurangkan stres di tempat kerja untuk penjawat awam.

Ia juga baik bagi penjawat awam yang kurang upaya disebabkan kemalangan atau berpenyakit kronik.

“Dengan ini kerajaan tetap mempunyai kepakaran atau kebolehan profesional dalam bidang-bidang tertentu. Tetapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), adalah penting bagi kejayaan program sebegini,” tambah beliau.

BERTUGAS SECARA ‘TERASING’ ADALAH BAIK

Bagi Fatimah, bekerja dari rumah mungkin agak ‘terasing’ tetapi bekerja begini lebih baik.

“Bekerja berseorangan adalah baik kerana tiada gangguan apatah lagi jika anda mempunyai waktu yang suntuk (hada tempoh) dan memerlukan konsentrasi tinggi. Dengan bekerja di rumah anda boleh mempunyai situasi yang baik untuk mencapai objektif kerja anda”.

Kata beliau, penjawat awam yang terpaksa menjaga anak kecil atau anak yang sakit boleh cuba memohon dari pihak majikan agar dibenarkan bekerja dari rumah.

“Bagaimanapun bukan semua penjawat awam boleh bekerja dari rumah. Hanya mereka yang mempunyai tugas bersangkutan dengan kerja komputer yang disambungkan kepada Internet dan seterusnya kepada rangkaian sistem komputer di pejabat sesuai untuk program sebegini”, tambah beliau.

Dengan membenarkan penjawat awam bekerja dari rumah, kerajaan tidak akan kehilangan mereka yang mempunyai kepakaran atau dari kumpulan profesional yang terpaksa bersara awal kerana menjadi kurang upaya atau mengalami sakit kronik yang teruk.

“Kalau mereka yang pakar dalam bidang tertentu dikekalkan, sudah tentu ini akan mengekalkan kecekapan dalam perkhidmatan awam,” tambah Fatimah.

Menurut laporan akhbar ‘The Nation’ pada tahun lepas, kerajaan Thailand juga berura-ura mengadakan program yang serupa di bawah konsep ‘e-ofis’.

SEKTOR SWASTA

Bagi pembekal barang perubatan Robert Lee, bekerja dari rumah memang satu perkara yang ‘ideal’ bagi beliau.

“Saya bekerja dari rumah dan tidak perlu bayar sewa yang tinggi untuk ruang pejabat serta tambahan kepada bayaran elektrik dan air. Dengan bekerja dari rumah, saya hanya perlu satu talian untuk faks dan juga satu talian tetap telefon selain daripada satu atau dua buah komputer yang ada sambungan Internet,” kata Lee dari Bukit Rahman Putra dekat sini.

Bagi penulis ini, bekerja dari rumah memang meningkatkan produktiviti beliau dan ini dibantu oleh kemudahan ICT yang wujud di negara ini.

“Kelebihan bekerja di rumah ialah anda mempunyai masa 24 jam untuk menyelesaikan tugas dan bebas untuk memilih masa bekerja. Wal hal bekerja di pejabat masanya agak ketat di mana seseorang hanya mempunyai lapan jam bagi menyelesaikan tugas beliau dan ini tidak cukup bagi menjadikan penjawat awam lebih produktif”.

Oleh Zulkiple Ibrahim
– BERNAMA

Bank Negara Serbu Buluhmas, Jazmeen, Noradz dan Eastana Farm

Balik dari cuti beraya,rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu berita berkaitan perniagaan internet yang tak begitu sedap didengar , apa lagi kalau bukan pasal skim cepat kaya. Sebetulnya, antara keempat-empat syarikat yang diserbu tu, saya cuma pernah dengar nama BuluhMas je. Ada juga buat survey tentang apa yang ditawarkan. Tapi belum terbuka hati nak join sebab masih belum faham betul-betul apa yang ditawarkan.

Saya tak nak komen lebih-lebih pasal ni sebab ia masih didalam siasatan. Kita tunggu je la keputusannya nanti ye. Bagi saya setiap pelaburan ada risiko yang perlu ditanggung. dan labur wang yang “anda sanggup hilang”. Kalau anda ada RM10,000 dalam ASB, janganla dikeluarkan semuanya hanya kerana dijanjikan pulangan berlipat kali ganda dalam masa singkat. Jangan sampai bergolok bergadai untuk melabur tapi kalau “terkena” anda terpaksa menanggung hutang keliling pinggang.

Okla, dah ramai yang ulas pasal benda ni, tiap orang ada pendapat sendiri. Jom baca keratan akhbar ni (in case anda tak baca lagi)

Ni petikan dari Utusan Malaysia 14/10/08.

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui Internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit.

Serbuan tersebut dilakukan di beberapa lokasi di Lembah Klang setelah syarikat-syarikat terbabit disyaki menjalankan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Mengikut maklumat daripada laman web, secara umumnya syarikat-syarikat tersebut menetapkan bayaran minimum RM1,000 sebagai deposit untuk pendeposit menyertai bidang perniagaan seperti pengiklanan, pelancongan dan perkhidmatan.

BNM dalam satu kenyataan di sini memberitahu, syarikat terlibat ialah Buluhmas Enterprise Sdn. Bhd., Jazmeen (M) Sdn. Bhd., Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. dan Eastana Farm Industries Sdn. Bhd.

Buluhmas yang beribu pejabat di Tanjung Karang, Selangor dalam laman webnya mendakwa ia memiliki 700,000 ahli sebagai pembayar deposit di seluruh negara.

Kaedah perniagaannya menggunakan promoter untuk mengiklankan aktiviti syarikat dengan menampal pelekat yang tertera logo syarikat atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pendeposit.

Sekitar pukul 9.30 malam ini, laman web Buluhmas masih boleh dilayari yang menunjukkan sejak April lalu ia telah menerima hampir 250,000 pengunjung.

Sementara itu, Jazmeen dalam laman webnya mendakwa dengan permulaan modal sebanyak RM1,000, pendeposit mampu mendapat pulangan 120 peratus dalam tempoh 12 bulan pertama dan jumlah itu terus bertambah pada tahun-tahun berikutnya.

BNM dalam kenyataannya menambah, tindakan ke atas keempat-empat syarikat itu diambil setelah Unit Penyiasatan Khas BNM menjalankan siasatan terhadap aktiviti syarikat berkenaan.

“Kesemua penganjur skim pelaburan itu akan ditahan selepas BNM merekodkan kenyataan mereka kerana disyaki mengambil deposit secara haram dan menjalankan aktiviti penggubahan wang haram,” jelas kenyataan itu.

Seorang jurucakap BNM ketika dihubungi memberitahu, jumlah sebenar ahli terlibat dan nilai deposit yang dikumpulkan oleh keempat-empat syarikat itu hanya akan diketahui apabila kes mereka dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Aktiviti syarikat-syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang melarang mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen daripada menerima dan mengambil deposit.

Katanya, jika sabit kesalahan pegawai dan pemilik syarikat-syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjara untuk tempoh 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat-syarikat itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang melarang mana-mana individu daripada terlibat atau cuba untuk membabitkan diri atau bersubahat melakukan kegiatan penggubahan wang haram.

Jika disabitkan kesalahan, mereka yang didakwa boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan BNM, skim pelaburan yang dianjurkan oleh keempat-empat syarikat yang diserbu hari ini menyatakan kononnya ia berasaskan perdagangan mata wang, pasaran hadapan komoditi, pelaburan luar persisiran dan saham-saham lain.

Dakwaan itu, kata BNM, hanya rekaan semata-mata.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan skim yang ditawarkan melalui Internet, panggilan telefon atau seminar yang dianjurkan oleh individu atau syarikat yang tidak dilesenkan oleh BNM,’’ jelas kenyataan itu.

Orang ramai boleh mengetahui senarai syarikat dan institusi berlesen yang menerima deposit dengan melawat laman web BNM di www.bnm.gov.my.

Lesen ditarik jika ubah pelan niaga

Shafie arah pegawai pantau syarikat jualan langsung

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menarik balik lesen syarikat jualan langsung yang didapati menyalah guna atau mengubah pelan perniagaan asal mereka kepada skim cepat kaya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata arahan itu sudah disampaikan kepada pegawai kementeriannya yang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Read more »

Waspada penipuan agensi pekerjaan

Oleh Siti Fatimah Hassan

RAMAI mengakui untuk mencari pekerjaan selepas tamat pengajian bukanlah satu perkara mudah sebaliknya memerlukan usaha lebih bagi memastikan diri dapat ‘dipasarkan’ kepada majikan.

Bagi yang menunggu jawapan daripada majikan hingga beberapa tahun lamanya, mereka akan mencuba apa saja alternatif di depan mata asalkan mendapat pekerjaan.Misalnya, agensi mencari pekerjaan yang semakin banyak di negara ini dapat membantu graduan mendapat kerja bersesuaian.Sebagai ‘orang tengah’, agensi pekerjaan bertindak menghubungkan pencari kerja dengan majikan yang ingin mengisi jawatan kosong di syarikat mereka.Lebih mudah lagi, pencari kerja boleh memburu pelbagai jenis pekerjaan mengikut bidang masing-masing menerusi laman web seperti Jobstreet.com, Jenjobs.com, Bestjobs.com atau JobsDB.com.Kebiasaannya, pencari pekerjaan akan diminta menghantar resume mereka ke agensi dan ia akan disimpan supaya boleh dijadikan rujukan oleh agensi dan majikan dalam usaha mencari pekerja yang sesuai untuk mereka melalui proses temu duga.

Namun, pada masa sama pencari kerja perlu berhati-hati dengan mengetahui latar belakang dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan agensi berkenaan bagi mengelakkan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini kerana, kes penipuan oleh agensi pekerjaan sering dilaporkan dan mereka yang menjadi mangsa bukan saja terdiri daripada graduan malah suri rumah juga terpedaya dengan tawaran kerja yang dijanjikan.

Kejadian seumpama itu bukan hanya berlaku sekali dua, tetapi secara berterusan menyebabkan mereka yang benar-benar menaruh harapan untuk mendapatkan pekerjaan mengalami kerugian apabila diminta membayar pada harga tertentu bagi ‘perkhidmatan’ ditawarkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar sebelum ini dilaporkan berkata, agensi mencari pekerjaan yang sah di negara ini hanya mengenakan yuran RM10 kepada graduan dan penganggur yang ingin bekerja di firma tempatan manakala RM20 dikenakan kepada mereka yang berminat bekerja di luar negara.

Beliau berkata, caj itu paling murah berbanding yuran RM138, RM129, RM96 atau RM88 yang dikenakan agensi bukan saja tidak diiktiraf, malah pintar menabur janji dan melakukan tipu helah kononnya membantu mendapatkan kerja.

Katanya, graduan dan penganggur yang mencari kerja menggunakan khidmat agensi, perlu memeriksa sama ada agensi berkenaan diiktiraf kerajaan.

“Saya menasihatkan pencari kerja perlu meminta agensi terbabit menunjukkan sijil atau lesen Agensi Pekerjaan Swasta yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia.

“Ini kerana lesen dikeluarkan kementerian mempunyai nombor siri bagi mengelak penipuan,” katanya.

TIP

- SEBAGAI alternatif kepada pencari kerja, agensi mencari pekerjaan yang semakin banyak di negara ini dapat membantu graduan mendapat kerja bersesuaian.

- SEBAGAI ‘orang tengah’, agensi pekerjaan bertindak menghubungkan pencari kerja dengan majikan yang ingin mengisi jawatan kosong di syarikat mereka.

- LEBIH mudah lagi, pencari kerja boleh memburu pelbagai jenis pekerjaan mengikut bidang masing-masing menerusi laman web seperti Jobstreet.com, Jenjobs.com, Bestjobs.com atau JobsDB.com.

- PADA masa sama pencari kerja perlu berhati-hati dengan mengetahui latar belakang dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan agensi berkenaan bagi mengelakkan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

- INI kerana kes penipuan oleh agensi pekerjaan sering dilaporkan dan mereka yang menjadi mangsa bukan saja terdiri daripada graduan malah suri rumah juga terpedaya dengan tawaran kerja yang dijanjikan.

=========

Sumber: Harian Metro

Buat duit dengan menulis buku

DI Malaysia, sebagai penulis buku anda sudah pasti tidak akan mungkin dapat mengalahkan kekayaan Robert Kuok, Ananda Krishnan, atau Lim Goh Tong, atau mengalahkan J.K Rowling, Dan Brown, Bill Bryson, dan ratusan lagi penulis Barat.

Buku siri Harry Potter karya J.K Rowling telah dijual melebihi 300 juta naskhah. The Da Vinci Code karya Dan Brown telah dijual melebihi 1.7 juta naskhah. Begitu banyak penulis Barat menjadi kaya-raya kerana buku mereka laris. Bayangkan pendapatan R.L Stine yang menulis 80 buah buku, dengan jualan melebihi 220 juta naskhah, atau Enid Blyton yang meninggal dunia pada 1968, dengan sejumlah 700 tajuk buku kanak-kanak, dengan jualan melebihi 100 juta naskhah.

Enid Blyton merupakan pengarang dalam bahasa Inggeris yang paling laris bukunya sebelum munculnya J.K Rowling. Bayangkan jumlah wang yang mengalir ke dalam bank Agatha Christie, penulis novel jenayah, apabila lebih daripada satu bilion naskhah novel beliau laris dalam bahasa Inggeris, dan satu bilion lagi dalam 45 bahasa lain dunia.

Jauh sebelum itu, pada 1901 lagi seorang penulis Britain, Beatrix Potter telah menjadi jutawan apabila buku The Tale of Peter Rabbit meledak dengan jualan sembilan juta naskhah. Bukan sedikit penulis Barat yang telah menjadi jutawan dan kaya-raya dengan menulis buku.

Di Malaysia, bagaimana? Adakah menulis buku dapat mendatangkan wang? Atau membolehkan penulis menjadi kaya-raya? Read more »

Next Page »