Jalinan Perniagaan Ala Cina

Bagi menggelakkan terjadinya persaingan yang tidak sihat, orang Cina tidak digalakkan melibatkan diri dalam bidang perniagaan ataupun menjual barangan yang sama. Skop perniagaan mungkin sama tetapi pendekatan yang digunakan dan produk yang dijual adalah berbeza.Orang Cina percaya, peniaga yang berjaya perlu mempunyai daya kreativiti yang tinggi di samping kecekapan bagi merebut peluang yang disediakan. Walaupun hendak mencapai kejayaan dan mendapat keuntungan akan menyebabkan seseorang peniaga menggunakan apa sahaja yang mampu difikirkannya. Namun ini tidak bererti dia boleh menggunakan cara yang kotor, muslihat dan tipu daya bagi mengalahkan para pesaingnya. Peniaga Cina mempunyai kod etika yang melarang penggunaan taktik kotor. Menjatuhkan perniagaan orang lain amat dikutuk oleh masyarakat Cina. Persaingan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam perniagaan. Acap kali berlaku persaingan sengit sehingga menimbulkan perbalahan dan permusuhan.Persaingan yang sihat menguntungkan semua pihak. Manakala persaingan yang tidak adil tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada mana-mana pihak. Jika ada pihak yang mendapat keuntungan sekalipun, ia hanya bersifat sementara dan tidak akan dapat bertahan. Bahkan akan menjadi faktor yang mempercepatkan kejatuhan dan kehancuran dalam bidang perniagaan. Bagi menggelakkan terjadinya persaingan yang tidak sihat, orang Cina tidak digalakkan melibatkan diri dalam bidang perniagaan ataupun menjual barangan yang sama. Skop perniagaan mungkin sama tetapi pendekatan yang digunakan dan produk yang dijual adalah berbeza.

Sebagai contoh, jika sudah ada di kalangan peniaga yang melibatkan diri dalam sektor perniagaan runcit, maka barangan yang dijual di kedai mereka adalah tidak sama. Ada yang menjual barangan hard ware. Ada pula menjual barangan keperluan harian ataupun barangan basah.Dalam industri makanan misalnya, kita akan dapati kedai makan orang Cina menjual makanan yang tidak sama. Sebab itu, kita barangkali akan jumpa banyak kedai dan gerai menjual mee. Tetapi jika diperhatikan dengan teliti, mee yang dijual oleh setiap kedai itu adalah berbeza. Dengan kata lain, setiap kedai akan memberi fokus pada makanan yang menjadi trade mark. Jadi, persaingan yang berlaku sesama mereka adalah dalam keadaan terkawal. Pelanggan mempunyai banyak pilihan bagi memilih mana-mana kedai dan gerai yang menjual makanan kegemaran mereka.
Bagi orang Cina, perniagaan perlu dipelbagaikan kerana selain memberikan pilihan kepada pengguna, ia juga dapat membantu peniaga-peniaga lain mencari makan. Pelanggan mudah bosan dan lambat-laun akan beralih ke kedai lain bagi menikmati juadah yang berlainan. Etika yang tidak tertulis ini membolehkan para peniaga Cina dapat hidup di satu-satu kawasan dan menguasai pasaran.Dalam perniagaan, orang Cina jarang sekali tertumpu di satu-satu kawasan. Berbeza dengan peniaga Melayu yang terlalu suka berhimpun di suatu kawasan dan menjual barangan yang sama. Akhirnya semua peniaga sama-sama rugi dan gulung tikar. Persaingan dalam perniagaan tidak bermakna para peniaga tidak boleh bekerjasama dan saling ‘dukung-mendukung’ antara satu sama lain. Membantu dan bersatu padu lebih baik daripada bergaduh serta berpecah belah. Persaingan seharusnya menguatkan kedudukan para peniaga dan tidak sewajarnya menjurus ke arah memusnahkan kelompok niaga itu.Peniaga Cina walaupun sering kali dilihat mementingkan diri, tetapi mereka pada hakikatnya boleh bekerjasama apabila berhadapan dengan situasi yang akan mengancam kedudukan. Seolah-olah wujud suatu bentuk persefahaman di kalangan peniaga Cina bagi menjaga kepentingan masing-masing. Tidak ada peniaga yang dibenarkan mengganggu perniagaan orang lain. Begitu juga dengan perbuatan memburuk-burukkan perniagaan juga tidak dibenarkan dalam kod etika niaga orang Cina. Persaingan dibenarkan menurut nilai moral dan pertimbangan kemanusiaan. Peniaga yang tidak patuh dan tidak berpegang pada etika ini akan dikenakan hukuman oleh masyarakat Cina. Hukuman itu sama ada berupa pemulauan, pengasingan ataupun tekanan yang akan memaksanya menghentikan perniagaan.
Para peniaga perlu memikirkan cara-cara yang positif bagi meningkatkan perniagaan dan margin keuntungan mereka daripada menggunakan pendekatan yang jahat. Antara kaedah yang digunakan oleh peniaga Cina bagi meningkatkan perniagaan adalah mempelbagaikan barangan yang dijual, memperbaiki mutu perkhidmatan kepada pelanggan dan berusaha menjalinkan hubungan baik dengan peniaga lain. Ini penting bagi membolehkan mereka mendapat sokongan daripada para peniaga lain, pelanggan, pengguna dan masyarakat. Peniaga tidak boleh terlalu rigid. Sebaliknya perlu membenarkan proses tawar-menawar yang menjadi salah satu identiti dalam perniagaan orang Cina. Jika keadaan memerlukan mereka menurunkan harga barang, maka para peniaga perlu berbuat demikian asalkan pelanggan terus setia berkunjung ke premis mereka.Taktik ini tidak bertentangan dengan etika niaga kerana ia bukan menipu ataupun memerangkap pelanggan. Dalam hal ini, pelanggan tidak rugi apa-apa. Yang rugi adalah peniaga. Tetapi dalam amalan niaga orang Cina, mereka percaya kerugian jangka masa singkat adalah laluan bagi mendapatkan keuntungan jangka masa panjang. Kaedah ini tidak melibatkan muslihat tetapi kebijaksanaan bagi memikat hati pelanggan. Dalam kod etika niaga orang Cina, peniaga tidak boleh terlalu berkira. Mereka perlu sanggup bertolak ansur, berkompromi dan bertoleransi. Keuntungan perlu menjadi perkara yang kedua. Apa yang sepatutnya diberikan keutamaan adalah peniaga perlu mempunyai konteks hati dan membentuk pertalian secara peribadi dengan pelanggannya. Peniaga perlu mempunyai pelanggan tetap dan mencari ikhtiar bagi mendorong pelanggan kembali berurusan dengan mereka.
Peniaga Cina kaya dengan taktik. Namun, taktik itu dianggap sebagai satu seni dan kemahiran berniaga. Etika niaga orang Cina membenarkan penggunaan taktik selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada peniaga dan pelanggan-nya. Taktik itu sebaik-baiknya mendatangkan keuntungan kepada kedua-dua pihak. Jika boleh, ia perlu menggembirakan dan mendatangkan kepuasan kepada semua pihak yang terlibat dalam urus niaga itu.
Peniaga kena bersikap serius apabila menjalankan perniagaan. Untuk berjaya, mereka tidak boleh bersikap sambil lewa. Mereka kena serius dengan pelanggan dan perlu menunjukkan kesungguhan dalam menjalankan urus niaga. Mereka juga perlu serius dengan kata-kata dan janji. Jika berhutang, ia perlu dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan. Peniaga yang melanggar etika niaga ini tidak akan dipercayai lagi. Apabila sudah tidak ada kepercayaan dan keyakinan, tidak mungkin peniaga itu dapat bertapak dan meneruskan perniagaannya. Kod etika niaga itu lebih merupakan satu kawalan sosial bagi mengawal tindak-tanduk peniaga. Matlamatnya adalah bagi membantu kejayaan semua peniaga daripada dirosakkan oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Dipetik daripada: Bab 10, buku Rahsia Bisnes Orang Cina terbitan PTS
org%20cina%20copy |  Jalinan Perniagaan Ala Cina

Related posts:

  1. Lima Sebab Perniagaan Internet Tidak Berjaya
  2. Menyediakan Rumah Untuk Perniagaan
  3. Punca Kegagalan Pekerjaan atau Perniagaan Dari Rumah

One Response

  1. Zamri Mohamad Thursday, 24 April, 2008

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge