Lesen ditarik jika ubah pelan niaga

Shafie arah pegawai pantau syarikat jualan langsung

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menarik balik lesen syarikat jualan langsung yang didapati menyalah guna atau mengubah pelan perniagaan asal mereka kepada skim cepat kaya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata arahan itu sudah disampaikan kepada pegawai kementeriannya yang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang tidak bertanggungjawab itu.

“Pada masa sama, kementerian akan meningkatkan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memastikan hak pengguna dilindungi.

“Usaha akan ditumpukan kepada mengesan penyelewengan dalam skim pelaburan menerusi internet dan pengambilan deposit haram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Standard Chartered Bank cawangan Kota Damansara di sini, semalam.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan Kementerian itu sedang memantau kegiatan sekurang-kurangnya enam syarikat jualan langsung yang menyalahgunakan lesen dan mengubah pelan perniagaan kepada skim cepat kaya.

Syarikat tempatan yang berfungsi sebagai ejen syarikat antarabangsa itu menawarkan pulangan lebih RM50,000 dengan kadar pelaburan serendah RM30 saja.

Berdasarkan pemantauan awal, sebahagian besar pelabur dalam kegiatan itu membabitkan kakitangan awam, guru dan profesional.

Malah, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang mengkaji kesahihan dan status kegiatan pelaburan menerusi internet dan skim cepat kaya yang menawarkan pulangan tinggi.

Mohd Shafie juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran tidak munasabah sesetengah syarikat apabila sejumlah kecil wang yang dilaburkan mampu menghasilkan pulangan berlipat ganda.

Beliau meminta kerjasama semua pihak supaya tampil memberi maklumat mengenai operasi syarikat yang didapati masih samar dan mencurigakan.

Katanya, maklumat itu penting untuk membantu pihaknya melengkapkan siasatan kes berkenaan kerana setakat ini tidak ramai yang mahu bekerjasama kerana menerima pulangan lumayan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan harga minyak, walaupun berlaku kenaikan mendadak harga bahan api itu di pasaran antarabangsa berikutan ketegangan di Teluk kebelakangan ini.

Sumber: Berita Harian

Related posts:

  1. Pejabat urusan niaga di rumah

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge