Iktibar dari sebiji kacang hijau

“Pohon beringin yang besar itu asalnya dari satu biji yang kecil dan burung yang besar terbang di udara itu asalnya dari sebutir telur”

Orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa-apa sahaja. Dia nampak orang berniaga kecil-kecilan, dia kata, “Buat apalah berniaga tepi jalan, bila nak kaya?”

Dia lihat orang berlatih sukan, dia kata, “Setakat jaguh kampung bolehlah.” Dia terserempak dengan orang yang menulis buku, dia kata, “Setakat buku picisan macam ni aku pun boleh buat.”

Hakikatnya dia tidak pernah berbuat apa-apa. Maka itu dia bebas berkata apa-apa sahaja. Jika dia berbuat perkara yang sama, dia akan berfikir banyak kali sebelum memberikan komen. Dia tahu jerih-perihnya untuk membina gerai di tepi jalan, berhadapan dengan cabaran pelanggan dan penguatkuasaan, komennya mungkin bukan bersikap komplen.

Jika dia pernah berlatih untuk memenangi sesuatu pertandingan sukan, dia akan tahu betapa pentingnya sesuatu kemenangan itu, biarpun tarafnya setakat jaguh kampung, ia tetap penting untuk kemenangan-kemenangan yang lebih besar. Dia tidak pernah memiliki kesungguhan seperti itu, maka dia bebas berkata apa-apa sahaja.

Kalau tahu sukar dan sulitnya menulis buku, dia tidak mudah memperlekeh karya orang lain. Sebaris ayat pun tidak pernah dihasilkannya, tentulah dia boleh berkata apa-apa sahaja.

Orang begini pastinya tidak akan ke mana-mana. Dia akan statik pada kedudukannya sebagai pemerhati dan pengkritik. Ramai sungguh orang yang menjadi penganalisa tidak bertauliah. Cakapnya pandai, hujahnya kadang-kadang bernas juga tetapi suatu apa pun tidak pernah terhasil olehnya.

Kena lihat setiap sesuatu yang besar itu bermula daripada sesuatu yang kecil. Setiap yang lahir terus gagah, biasanya tidak bertahan lama. Gedung perniagaan yang gagah di bandar raya asalnya satu perniagaan kecil. Kebanyakan orang kaya asalnya orang biasa. Pemimpin asalnya rakyat biasa. Seekor ayam asalnya sebutir telur. Seekor burung yang terbang tinggi di angkasa asalnya kecil, lemah dan tanpa sayap. Setiap hari ibu burung akan mencarikan makanan untuknya dan memasukkan makanan itu ke dalam mulutnya. Tiada seekor burung pun tiba-tiba lahir dan terus boleh terbang.

Orang yang tidak berbuat apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja. Bercakap itu mudah maka itu ramai orang melakukannya. Apabila tiba masa untuk berbuat, selalu menyerah sebelum mencuba.

Istimewanya mereka hanya pada, “Eleh, setakat macam tu, aku pun boleh,” namun dia tidak pernah melakukannya.

Itulah pelik dan anehnya sesetengah manusia.

Jika tidak pernah memegang berus cat, mudah saja mengatakan kerja mengecat itu senang dan boleh dilakukan oleh semua orang. Setelah benar-benar mengecat baru tahu sakit dan letihnya.

Menonton perlawanan bola sepak selalu menjadi juara jerit tetapi apabila disuruh bermain ternyata kaki bangku. Menonton orang menyanyi memang mudah mengatakan itu ini, begitu begini, tetapi apabila disuruh menyanyi tidak pula boleh mengotakan apa yang dikata. Memang, orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa-apa.

“Doktor, tolong saya. Sebiji kacang hijau masuk ke telinga saya,” kata seorang pesakit.

“Wah, ini sukar sekali. Perlu teliti mengeluarkannya, kalau tidak dalaman telinga awak boleh cedera.”

“Apa susahnya doktor, sebiji kacang hijau je.”

“Kalau begitu, awak masukkan air ke telinga, tunggu hingga ia tumbuh menjadi taugeh, senanglah awak cabut.”

Orang yang tidak tahu apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja.

Sumber: http://etuah.com

Tags :

Usahawan Pau Untung Besar

Kini, teknologi komputer dan Internet (ICT) bukan sahaja diperlukan untuk mengurus dan meluaskan perniagaan besar, bahkan ia amat perlu untuk mengefisyenkan perniagaan berskala kecil dan sederhana. Mustika Hati Enterprise membuktikan bahawa penggunaan ICT telah membawa kejayaan besar kepada perniagaan pau yang diterokainya sejak 18 tahun yang lalu.

Puan Musringah binti Hj Ismon, 48, ketika ditanya mengatakan beliau menyedari pentingnya penggunaan ICT ketika perniagaannya mula mendapat sambutan. Di peringkat awal, beliau hanya menghasilkan 50 biji pau sehari tetapi pada hari ini, dengan ICT, permintaan terhadap paunya semakin meningkat, kepada sekurang-kurangnya 3000 sehingga 4000 biji sehari.

Puan Musringah yang juga pemilik Mustika Hati Enterprise memulakan perniagaan pau pada tahun 1988 secara kecil-kecilan. Pada peringkat awalnya latihan dan bimbingan yang diikutinya banyak berkaitan dengan perakaunan, pemasaran dan kebersihan tetapi hari ini, bagi Puan Musringah beliau perlu mempunyai pengetahuan ICT untuk menguruskan perniagaannya.

Walaupun semakin sibuk tetapi beliau tetap meluangkan masa untuk mengikuti kelas komputer dan ICT. Menurut Puan Musringah, beliau amat berterima kasih kepada Pusat Internet Desa (PID) Sungai Air Tawar, Sabak Bernam kerana banyak membantunya menggunakan perisian seperti Microsoft Word, Powerpoint dan Excel untuk urusan perniagaannya. Segala urusan yang sebelum ini tidak efisyen, kini menjadi lebih mudah dan cekap dengan menggunakan komputer.

PID Sungai Air Tawar juga banyak membantu Puan Musringah untuk mempromosikan produk yang beliau hasilkan. Pau Puan Musringah dan produk-produk pengusaha yang lain dipromosikan melalui laman web PID, cakera padat dan juga pamflet-pamflet. Melalui laman web tersebut penyebaran tentang maklumat pengusaha dan produk yang dikeluarkan oleh mereka boleh diakses di mana saja. Ini membuka ruang untuk produk mereka dikenali ramai.

Jika dahulu pengedaran pau hanya tertumpu di sekitar restoran dan kedai makan tetapi dengan promosi yang berkesan pau beliau hari ini turut dijual di Carrefour, Tesco dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagi Puan Musringah, usahawan hari ini perlu mengikuti perkembangan teknologi ICT kerana ia berpotensi luas dan dapat meluaskan perniagaan. Oleh itu, beliau masih terus berusaha untuk menambah pengetahuannya dalam ICT. Beliau mengikuti kelas yang terdapat di PID dan tidak malu untuk berbincang dengan anak-anaknya mengenai komputer.

Sumber: http://www.aspirasidigital.net.my

Tags :

1 Hari – 1 Orang – 1 Produk

Kebanyakan orang Melayu, agak sensitif apabila diminta menjual, sebabnya ramai Melayu bukan kaki bisnes, kebanyakan tiada pengalaman bisnes, kebanyakan bekerja dengan orang lain. Apabila diminta menjual, mereka susah hati. Kalau boleh berniaga tanpa menjual barang. Di sini cuba diberitahu cara mudah kepada orang yang tidak tahu, tidak minat atau tidak pernah berniaga.

Cara mudah dilakukan ialah dengan menceritakan pada orang tentang produk yang telah kita gunakan, terutama yang telah memberi manafaat kepada kita dan produk yang telah dapat menyelesaikan masalah kesihatan kita.

Disini disyorkan hanya ‘bercerita’. Cuba hilangkan tujuan dan niat hendak menjual. Jika sekadar bercerita dan berbual, kita tidak rasa bebanan atau rasa tertekan. Tidak timbul rasa nanti orang tolak atau tidak mahu beli.

Soal orang beli atau tidak, bukan soal kita. Niatkan sahaja kita mahu bercerita. Jadi, sekadar beritahu apa kelebihan produk itu sahaja. Bagaimana produk tersebut boleh bantu dan selesaikan masalah kesihatan kawan, jiran, saudara dan kenalan kita.

Timbul rasa sukar apabila memikirkan banyak produk yang hendak diceritakan. Disini cuba dipermudahkan.

Sasaran awal adalah dengan membuat perubahan kecil iaitu bercerita sekurang-kurangnya kepada 1 orang 1 hari 1 produk sahaja.

Dipetik daripada: Bab 13, buku Berubah Untuk Kaya oleh Zakki Mohamed

Tags :