Tip Hidup Tenang Walaupun Berhutang

Anda dapat hidup tanpa hutang dengan mengamalkan perkara di bawah ini: -Kawal nafsu
-Hidup dalam kesederhanaan
-Belanja ikut belanjawan
-Bagi dahulu, baru terima
-Gunakan pinjaman secara bijak
-Simpan duit secara berterusan

1. Kawal Nafsu
Anda perlu kenal pasti dan faham perbezaan antara kehendak dan keperluan. Keperluan adalah perkara asas atau paling penting sebelum kehendak. Ini bukan bermaksud anda tidak boleh memenuhi kehendak anda, tetapi anda perlu memberikan keutamaan kepada keperluan dalam setiap langkah pada setiap hari dan masa.Sekiranya anda memberikan keutamaan pada kehendak dalam berbelanja, anda terpaksa meminjam ataupun berhutang bagi memenuhi keperluan kerana duit gaji sudah habis. Apabila mendapat gaji dan sesudah ditolak simpanan dan perbelanjaan keperluan, sekiranya ada lebih gunakan bagi memenuhi kehendak naluri anda.Seperti yang kita bincang sebelum ini, setiap kali anda ingin membeli sesuatu, tanyakan kepada diri anda soalan-soalan seperti di bawah:
-Mampukah saya mendapatkannya ataupun membelinya?
-Adakah saya perlu memilikinya?
2. Hidup Dalam KesederhanaanBerbelanja jangan sampai boros, berjimat jangan sampai kedekut. Kaki peminjam pun tidak, kaki belanja pun tidak. Mabuk belanja pun tidak, mabuk berjimat pun tidak. Sentiasa mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

3. Belanja mengikut belanjawan

Pastikan anda menambahkan ilmu berkaitan cara-cara hendak membuat belanjawan supaya kesilapan membuat hutang tidak berlaku lagi. Walau sebaik mana belanjawan dirancang, ia tinggal belanjawan sekiranya anda tidak memastikan ia diikuti. Jangan berbelanja melebihi yang ditetapkan kerana apa yang dirancang itu menjadi sia-sia.

4. Beri dahulu, baru terima

Gunakan konsep memberi duit dahulu sebelum menerima barang, bukannya mengambil barang dahulu dan selepas sebulan baru hendak mula membayar sedikit-sedikit (ansuran). Ingat, beri duit sebelum mengambil barang, bukannya memberi kad kredit.

5. Gunakan pinjaman secara bijak

Sebelum membuat pinjaman, fikir dahulu adakah anda mampu membayar balik? Sekiranya tidak mampu, jangan pinjam. Jangan menyalah guna duit pinjaman dan menyebabkan bebanan hutang anda bertambah. Jangan terikut-ikut dengan konsep lagi lama tempoh pembayaran balik, lagi rendahlah ansuran bulanan.

Memang benar sekiranya jumlah ansuran yang dibayar bagi sebuah rumah yang dibeli dengan pembayaran balik selama 20 tahun adalah dua kali ganda harga rumah itu. Tetapi, bagaimana dengan ansuran selama 30 tahun ? Duit siapa yang habis? Anda membeli rumah berharga RM 100,000 tetapi membayarnya dengan RM 300,000. Adakah ia berbaloi?

6. Simpan secara berterusan

Dengan mempunyai simpanan, anda dapat membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Dengan adanya wang simpanan, ia mengelakkan dan mengurangkan risiko anda berhutang kerana anda tiada keperluan berhutang.

Tidak kira sekecil mana anda menyimpan setiap kali mendapat gaji, ia mengajar anda menyimpan. Ini memberikan ketenangan dan semangat setiap kali anda melihat duit tabungan anda semakin bertambah.

Sekiranya anda menyimpan sebanyak RM25 sebulan bagi 30 tahun dengan kadar faedah 7 peratus setahun, anda mempunyai RM30,000. Bagi simpanan RM25 seminggu dalam masa 30 tahun, anda mempunyai lebih RM122,000. Berapakah yang anda miliki sekiranya menyimpan RM200 sebulan bagi 30 tahun? Lebih daripada RM 245,000. Itu baru 7 peratus kadar faedahnya. Sekiranya anda menyimpan dalam simpanan yang kadar keuntungan lebih daripada 10 peratus, berapa?

Dipetik daripada: Bahagian 4, buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang oleh Shamsuddin Abdul Kadir
Stanpa%20hutang |  Tip Hidup Tenang Walaupun Berhutang

Related posts:

  1. Realiti Hidup Apabila Bekerja dari Rumah

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge