Tips Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan (Part 1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semalam saya telah senaraikan begitu banyak contoh peluang yang biasanya menipu. Tetapi kadang-kadang kita tidak dapat mengenalpasti adakah ia satu penipuan kerana kurangnya pengetahuan. Oleh itu, hari ini saya akan berikan serba sedikit tips yang boleh dijadikan panduan agak anda tidak akan menjadi mangsa. Tips-tips ini saya perolehi daripada pelbagai sumber termasuk ehomemakers.net .

Kebanyakan iklan disuratkhabar memerlukan anda SMS nama dan alamat anda ataupun menghantarkan sampul surat beralamat sendiri untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selepas itu, anda akan menerima surat yang akan menerangkan lebih terpeinci mengenai program, perniagaan atau apa jua peluang yang ingin ditawarkan.

Disinilah anda perlu berhati-hati menilai mana satu peluang yang benar-benar sesuai untuk anda selain benar-benar menguntungkan anda (bukan pihak pengiklan sahaja)

Selain suratkhabar, internet adalah salah satu sumber terbaik untuk mencari peluang menambahkan pendapatan. Apabila anda memilih untuk mencarinya melalui internet, pastinya anda mendapatkan akaun email dan meluangkan masa melayari pelbagai laman web untuk mencari peluang kerja yang sesuai.

Salah satu nasihat saya ialah menyediakan satu akaun email khas untuk digunakan semasa proses pencarian yang sesuai. Jika anda memberikan alamat email peribadi anda (yang digunakan untuk berhubung dengan rakan-rakan atau urusan lain), jangan terkejut jika anda menerima puluhan email (dari mereka yang tidak dikenali) dan anda akan membuang banyak masa menyemak dan memadam email yang tidak dikehendaki.

Ini biasanya berlaku apabila anda memberikan nama dan alamat email anda di sesebuah laman web untuk mendapatkan sesuatu (seperti ebuku, lapuran,akses laman web atau perkhidmatan percuma). Maklumat anda juga mungkin dijual atau disewa kepada pihak ketiga yang ingin mencari prospek untuk menjual produk atau perkhidmatan mereka.

Anda mungkin dapati peti e-mel anda dihujani dengan e-mel yang menjemput anda mengambil bahagian dalam skim kewangan, peluang perniagaan dan sebagainya yang kesemuanya menjanjikan kejayaan. Begitulah menurut pengirimnya.

Apa yang harus anda buat? Bagaimana anda hendak mengenalpasti peluang sebenar di antara selonggok iklan yang kesemuanya kelihatan menarik? Jika anda pernah terjumpa peluang-peluang seperti yang dibincangkan didalam post sebelum ini, anda perlu mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenainya kerana dikhuatiri anda akan kecewa.

Saya sendiri pernah tertipu beberapa kali semasa mula-mula saya mencari peluang pekerjaan dari rumah. Namun, setelah saya membuat pelbagai kajian dan pembacaan, barulah saya ketahui bahawa sebenarnya kita boleh mengelakkan diri daripada menjadi mangsa. Berikut adalah beberapa tips yang boleh anda gunakan didalam pencarian anda.

#1 – Siapakah Anda?

Tanya soalan ini kepada sesiapa sahaja yang menawarkan anda pekerjaan secara online atau pos. Dalam kes ini, anda mempunyai hak untuk tahu lebih lanjut mengenai mereka, termasuklah menyemak mereka dengan pihak berwajib seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Anda boleh menyemak kesahihan maklumat melalui laman web SSM di http://www.ssm.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat terpeinci mengenai syarikat.

Dalam hal ini, anda pastinya mempunyai banyak soalan penting untuk mereka jawab, termasuk harga barangan, bentuk perniagaan atau pekerjaan, pembayaran komisen atau elaun dan sebagainya.

Contohnya, anda mungkin berpendapat bahawa syarikat tersebut akan mencarikan pelanggan untuk anda, sedangkan mereka mungkin hanya bersedia untuk menyerahkan kepada anda senarai e-mel/alamat yang mungkin dibeli dari syarikat lain. Anda sendiri terpaksa melakukan kerja keras dan mendapatkan peluang perniagaan sendiri. Dapatkan butir-butirnya. Ingat, syarikat yang kelihatan terlalu berahsia mengenai butir-butir mereka patut disyaki.

Anda juga perlu berhati-hati dengan syarikat yang tidak melampirkan sebarang kaedah untuk menghubungi mereka samada melalui telefon, email ataupun surat. Sebuah syarikat yang sah tentu gembira untuk memberitahu anda siapa, apa, di mana, bila dan bagaimana bentuk perniagaan mereka.

#2 – Kaji sebelum memberikan maklumat peribadi anda

Jelas, bukan? Walaupun begitu, ramai di antara mereka yang baru mula menceburi bidang pekerjaan dari rumah yang mudah terpengaruh dan memberikan maklumat sensitif ini hanya kerana mereka diminta berbuat demikian melalui e-mel. Kaji dahulu – permintaan itu mungkin kedengaran tidak mencurigakan – sebagai sebahagian daripada tawaran, anda mungkin diminta untuk memberikan nama dan butir-butir peribadi seperti No. Kad Pengenalan, alamat rumah , dll supaya kad “pekerja” boleh dikeluarkan untuk anda.

Ataupun, berikan butir-butir kad kredit supaya satu lagi kad “EMAS” akan menjadi milik anda tanpa persoalan. Jangan sekali-kali memberi butir-butir ini kerana sungguh mudah bagi mereka menggunakannya untuk tujuan penipuan. Sekiranya anda membuat keputusan untuk menyertainya, elakkan daripada menghantar maklumat kad kredit anda melalui internet melainkan anda benar-benar pasti tentang pihak yang menerimanya.

Sentiasa pastikan urusan yang dibuat dengan menggunakan kad kredit adalah selamat, terutamanya apabila anda memberikan maklumat peribadi bersamanya. Jangan lupa untuk mencatat dan merekodkan semua maklumat urusniaga dan pihak yang menerimanya.

#3 – Email/surat dari orang yang tidak dikenali

Jangan buka emel yang anda terima daripada orang yang anda tidak kenali. Sekirannya anda memilih untuk membukanya juga, anda juga menghadapi risiko kemungkinan komputer anda akan dijangkiti virus. Sememangnya peluang berniaga di rumah sangat menarik, tetapi anda perlu menolak mana-mana tawaran yang tidak memberitahu anda dengan siapa anda berurusan sebenarnya atau tempat anda menghantar pelaburan anda secara terperinci.

Email ini biasanya akan dipenuhi dengan perkataan HURUF BESAR dan tanda $$$ menandakan wang segera. Anda akan selalu melihat kata-kata seperti, MUDAH DAN SENANG, ANDA BOLEH MEMPEROLEHI BERIBU-RIBU RINGGIT, PEROLEHI $$ TANPA MEMBUAT APA-APA dan sebagainya. Emel/surat ini biasanya lebih menekankan kepada betapa senangnya mendapatkan sejumlah wang yang banyak dengan cepat tanpa bersusah payah.

Adakah syarikat itu sendiri yang menawarkan pekerjaan? Ataupun, mereka “hanya” menawarkan untuk menjual kepada anda bahan-bahan latihan dan bertindak sebagai agen dalam mendapatkan peluang perniagaan kepada anda?

#4 – Untung Yang Besar Tidak Datang Dengan Mudah

Kata-kata ini bagaimanapun seringkali dilupakan. Dengan bekerja atau menjalankan perniagaan dari rumah sama juga seperti menjalankan jenis perniagaan lain di mana untung atau jika bekerja gaji yang diterima adalah sesuatu yang penting. Secara amnya, anda memindahkan pejabat ke rumah anda, itu sahaja! Untuk mendapatkan wang yang banyak, anda hendaklah meneliti perkara-perkara asas, contohnya cari sesuatu yang anda boleh lakukan dengan baik, lakukannya dengan tekun, melabur dengan baik dalam peralatan dan sentiasa memperbaiki kemahiran dan pengetahuan anda.

Jika seseorang menawarkan anda wang ringgit yang banyak bagi “kerja yang sedikit”, awaslah – tentu ada sesuatu yang tak kena. Antara ayat yang sering digunakan ialah “Sekiranya anda ingin mendapatkan beberapa ribu ringgit dengan cepat, sila luangkan sedikit masa untuk membaca dan memahami program yang mudah ini,” kata salah satu daripada emel yang saya terima. Ia diteruskan dengan, “Saya yakin anda akan berpuas hati dengan RM15,000 atau lebih yang akan anda perolehi dalam tempoh 90 hari.”

Walaupun pada permulaan emel/surat tersebut menjanjikan wang segera tanpa perlu berbuat apa-apa, tetapi daripada pembacaan saya seterusnya saya dapati bahawa untuk melayakkan diri saya mendapat habuan tersebut saya perlu melaburkan sejumlah wang saya sendiri. Sudah tentu ada risiko kehilangan wang pelaburan kita tetapi di dalam emel tersebut masih lagi boleh mengatakan yang skim ini “tidak berisiko”.

#5 – Terdapat faktor mendesak

Selalunya pasti ada had penyertaan sebagai faktor mendesak seperti “Peluang ini hanya untuk 10 orang pertama yang menyertainya sahaja”. Pemangsa mendesak anda membuat keputusan samada mahu atau tidak melaburkan wang anda. Mereka tahu bahawa lagi cepat anda membuat keputusan, lagi sedikit anda berfikir dan memeriksa samada skim ini benar atau palsu.

Dan sekiranya mereka hanya beroperasi untuk sementara waktu sahaja, keadaan ini memberi peluang kepada mereka untuk mengaut semua pelaburan dan melarikan diri. Kadang-kadang, ada juga skim yang menghendaki anda menghantar wang/pelaburannya sebelum anda mengetahui apakah sebenarnya skim atau program atau perniagaan atau pekerjaan itu dengan lebih lanjut. Ini adalah sangat bahaya lebih-lebih lagi jika tiada maklumat untuk dihubungi.. sekadar alamat email mahupun PO Box.

..Saya akan sambung pada part 2.

Salam sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com/
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com/
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm
Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

Related posts:

  1. Berhati-hati sebelum membuat pilihan (Part 2)
  2. Berhati-hati sebelum membuat pilihan (Part 1)

4 Comments

  1. siantan77 Monday, 10 April, 2006
  2. sabarina Monday, 10 April, 2006
  3. Ansun Sawat Monday, 22 October, 2012
  4. Ansun Sawat Monday, 22 October, 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge