Tips Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan (Part 2)

…sambungan dari part 1.

#6 – Adakah Wang Anda Akan Dikembalikan?

Sesetengah peluang perniagaan mungkin melibatkan pembelian peralatan, bahan-bahan dan sebagainya. Satu perkara yang anda mesti tahu ialah samada syarikat tersebut mempunyai polisi pemulangan kembali wang. Jika ya, anda perlu tahu syarat-syaratnya sebelum anda membuat komitmen.

Ada dua aspek mengenai perkara ini: Pertama, anda tidak mahu terlibat di dalam skim di mana syarikat tersebut menjalankan perniagaan dengan memperolehi keuntungan daripada penjualan peralatan dan barang-barang ini. Kedua, jika perniagaan ini sahih dan anda dapati selepas anda menceburinya, ianya tidak sesuai dengan anda, anda harus tahu bagaimana hendak mengurangkan kerugian.

#7 – Adakah Ia Menguntungkan Walaupun Dengan Kerja Keras?

Ada beberapa jenis penipuan yang berselindung di sebalik nama premis pekerjaan di mana anda perlu membeli “perniagaan” itu dalam jumlah yang ditetapkan dan selepas itu anda akan diberi “Pakej Permulaan” dan anda dikehendaki menyiapkan kerja tersebut. Ia adalah satu penipuan kerana kerjanya adalah sukar dan tidak memberangsangkan, tambahan pula produk itu sendiri tidak dapat dipasarkan dengan jayanya.

Tujuan sebenarnya ialah supaya anda akan putus asa, dan apabila anda berhenti, pelaburan awal anda akan hangus. Tiada pulangan wang bagi anda tetapi sebaliknya keuntungan kepada syarikat. Jenis penipuan seperti ini seringkali menyiarkan iklan mereka dengan mengatakan tiada polisi pemulangan wang dalam cetakan kecil.

#8 – Pengetahuan Mengenai Pasaran

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak permintaan dan iklan bagi pekerja dari rumah bagi beberapa “perkhidmatan khusus” seperti perkhidmatan pengebilan terutamanya dalam industri perubatan dan utiliti, dan kerja-kerja seni dan kraftangan. Buatlah kajian pasaran sebelum anda mendaftar. Adakah berbaloi tugas ini dengan tenaga yang anda keluarkan.

Contohnya benarkah wujud pasaran di tempat anda bagi perkhidmatan seperti ini? Jika anda diambil bekerja dengan janji bahawa ada pelanggan sedia ada yang telahpun menggunakan perkhidmatan tersebut, hubungi mereka untuk mendapatkan kepastian, dan dapatkan gambaran sebenar tentang perkhidmatan yang diperlukan.

#9- Tuntutan Perundangan
Panduan ini sebenarnya berkait rapat dengan perkara di atas. Sebelum anda mula menerima apa saja jenis kerja khusus, periksa dahulu jika ada keperluan perundangan tertentu. Ini mungkin termasuk tuntutan perlesenan, pendaftaran dan pengezonan bagi beberapa jenis aktiviti perniagaan tertentu. Periksa dengan pihak berkuasa tempatan contohnya majlis perbandaran ataupun Pendaftar Syarikat bagi tuntutan-tuntutan ini.

#10 – Periksa Sumber Maklumat

Sebelum anda melibatkan diri dengan apa sahaja jenis perniagaan tertentu, periksa sumber-sumber maklumat seperti jurnal perdagangan dan laman web berkaitan. Sumber-sumber ini dapat memberikan maklumat yang berguna dan boleh dipercayai mengenai berita, latihan, dan acara-acara tertentu.

Anda juga mungkin dapat memperolehi maklumat terperinci mengenai perkara-perkara berkaitan seperti agensi kerajaan yang terlibat dan maklumat mengenai pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam industri tersebut. Anda juga boleh menyertai forum untuk bertanya soalan, mengemukakan isu-isu berkaitan dan sebagainya.

#11 – Tawaran Istimewa

Sebahagian daripada cara “menghidu” penipuan ialah dengan melihat jika terdapat apa yang dipanggil wang pendahuluan terhadap gaji anda selepas anda mendaftar dengan sesebuah syarikat. Ini adalah cara biasa yang digunakan untuk menarik kepercayaan anda, serta untuk menipu wang anda.

Pertama, anda akan menerima sekeping cek – kononnya adalah wang pendahuluan bagi gaji bulan pertama anda. Ini memberikan anda keyakinan bahawa perniagaan itu benar-benar sah. Setelah mendapat bayaran itu, anda tentu akan pergi mendepositkan cek tersebut.

Sebelum sempat cek itu diluluskan oleh bank, anda akan dihubungi oleh pihak syarikat yang meminta supaya anda memulangkan sebahagian daripada wang tersebut, atau untuk memulangkan cek tersebut kerana berlaku sedikit kesilapan.

Mereka juga berjanji yang anda akan menerima bayaran yang sebenar tidak lama lagi. Selepas anda memulangkan wang itu (menggunakan cek anda), anda akan diberitahu oleh pihak bank bahawa cek yang diberikan oleh syarikat adalah cek tendang. Dengan ini, mereka telah berjaya menipu wang anda. Apa yang anda dapat adalah cek tendang dan tiada harapan untuk anda mendapat wang anda kembali daripada syarikat.

#12 – Piramid – Bentuk Yang Harus Dicurigai

Skim Piramid adalah berita buruk, tidak kira dari sudut mana anda melihatnya. Secara amnya, ia adalah perniagaan yang melibatkan “perluasan perniagaan” yang dijalankan bukan dengan penjualan barang atau bayaran bagi perkhidmatan, tetapi melalui sistem pengambilan ahli baru yang akan meneruskan perluasan perniagaan itu dengan mengambil lebih ramai lagi ahli baru.

Kadang kala, syarikat yang menjalankan skim piramid ini akan berpura-pura bahawa sebenarnya ada jual beli berlaku atas barang-barang tertentu, contohnya lukisan atau makanan kesihatan. Tetapi apabila anda meneliti dengan lebih mendalam, anda akan lihat bahawa aktiviti utamanya ialah memperluaskan dasar piramid itu dengan mendapatkan lebih ramai orang bawahan atau “downliners”.

Seringkali juga, ahli-ahli baru terpaksa membayar wang yang banyak untuk memasuki skim ini. Di negara kita, perkara ini telah banyak kali berlaku, dan ramai orang yang tidak bersalah telah tertipu. Mereka telah membayar sejumlah wang yang banyak selepas menerima pulangan awal, tetapi kemudiannya hilang kesemua wang mereka apabila piramid itu runtuh.

Jadi, pastikan ia merupakan peluang yang benar-benar sah dan berhati-hatilah apabila ditawarkan dengan “wang mudah”. Satu peringatan dari Beverly Williams, Presiden dan Pengasas American Association of Home-Based Business ialah “Terdapat SANGAT SEDIKIT peluang (bekerja dari rumah) yang sah terdapat di pasaran”.

Jangan menjadi mangsa! Buat penyelidikan sebelum membuat sebarang pelaburan atau penyertaan. Risiko yang paling besar ialah kehilangan wang yang susah payah anda perolehi selama ini. Anda juga akan merasa kesal/bingung/tertekan sekiranya anda telah memberikan maklumat peribadi anda seperti maklumat kad kredit dan akaun bank kepada syarikat yang tidak bertanggung jawab tersebut.

Orang yang terlibat di dalam komplot penipuan ini mungkin boleh menggunakan maklumat yang anda beri kepada mereka untuk kerja-kerja penipuan yang lain seperti mengklon kad kredit anda atau membuat pengeluaran daripada akuan bank anda tanpa anda ketahui. Sekiranya anda menjadi mangsa kepada penipuan peluang perniagaan yang beroperasi di luar negara, anda tidak akan mempunyai tempat untuk ditujui di dalam negara bagi membantu anda menyelesaikannya.

Diharap anda mendapat manfaat darinya.

Salam sukses!

Asmawati Abd. Manap
Tips dan Panduan PERCUMA : http://kerjadarirumah.blogspot.com
Prepaid MURAH melalui SMS: http://www.tambahpendapatan.com/prepaidsms.htm
Peluang Side-Income: http://www.tambahpendapatan.com
Apa kata mereka? http://www.tambahpendapatan.com/testimoni.htm
Program Pengguna Bijak http://www.tambahpendapatan.com/cs2u.htm

Related posts:

  1. Tips Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan (Part 1)
  2. Berhati-hati sebelum membuat pilihan (Part 2)
  3. Berhati-hati sebelum membuat pilihan (Part 1)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge